Sunday, April 05, 2009

Muzium Arkeologi Lenggong

Terletak di Kota Tampan, Mukim Temelong, Lenggong dalam Daerah Hulu Perak iaitu kira-kira 6 km ke selatan pekan Lenggong dan 2 km dari simpang masuk jalan utama Kuala Kangsar - Gerik. Muzium ini dibina oleh Jabatan Muzium Malaysia di sebuah kawasan yang merupakan tapak Paleolitik Kota Tampan berusia 74,000 tahun dalam Rancangan Malaysia ke - 7.
Ditubuhkan berdasarkan interpretasi budaya material dan teknologi zaman Paleolitik ,Neolitik dan Logam masyarakat prasejarah yang di temui di Lembah Lenggong.

Pembinaannya bermula pada 1999 siap pada 2001 dengan kos RM 2.7 juta, seluas 8.17 ekar dengan 2 blok bangunan, 2 galeri pameran pejabat, bilik audio visual, bilik mesyuarat, bilik penyelidikan/rujukan, kafeteria dan surau dibuka kepada orang ramai pada Mei 2001 dengan penyediaan Pameran Sementara di galeri Kota Tampan.

Kerja Pengisian ID bermula pada Oktober 2002 siap sepenuhnya pada Mei 2003 dan pada 21 Julai 2003 Muzium Arkeologi Lenggong telah dirasmikan oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak.
Muzium Arkeologi Lenggong merupakan Muzium Arkeologi Prasejarah pertama di Malaysia


Di antara koleksi menarik yang dipamerkan ialah:-

  1. Alat-alat batu zaman Paleolitik di Bukit Jawa, Kg. Temelong, Bukit Bunuh dan Lawin
  2. Alat-alat batu bifas dan unifas yang ditemui di Gua Teluk Kelawar, Gua Ngaum, Gua Gunung Runtuh dan lain-lain tapak di Lembah Lenggong
  3. Rangka 'Perak Man' yang berusia 10,000 - 11,000 tahun ditemui di Gua Gunung Runtuh
  4. Peralatan yang digunakan untuk Penyelidikan Arkeologi
  5. Koleksi barangan masyarakat orang Asli dan perkaitannya dengan kehidupan manusia pra-sejarah
  6. Lukisan di Gua-gua dan kajian terhadap tapak arkeologi sezaman dengan Lenggong
  7. Alat-alat pengebumian Neolitik Gangsa Gua Harimau seperti Tembikar, Alat Batu, Perhiasan diri, Acuan dan Kapak Gangsa

Muzium Arkeologi Lenggong menempatkan pelbagai artifak dan tinggalan sejarah yang pernah digunakan dalam kehidupan masyarakat purba yang pernah mendiami kawasan ini.

Selain dua rangka berkenaan, penggali di lembah itu menemui perhiasan manik dan subang, tembikar, senjata seperti kapak genggam dan alatan memburu serta pisau diperbuat daripada batu gunung berapi dipercayai berusia sekitar 40,000 tahun.

Di tingkat atas muzium ini ditempatkan Pameran Arkeologi Ulu Kelantan.

Manakala di blok sebelah belakang di tempatkan Pameran Tokoh-tokoh Hulu Perak dari tahun 1520 - 2006.

Di sebelah belakang muzium terdapat Taman Geologi Hulu Perak yang menempatkan beberapa jenis batu.

No comments: