Friday, November 21, 2008

Feri Pulau Pinang

Pada 23 September 1959, dua buah Pengkalan Feri yang terletak di Pulau Pinang dan Butterworth telah dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu dengan diberi nama Pengkalan Raja Tun Uda di Pulau Pinang dan Pengkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth. Suasana dalam feri dahulu
Perkhidmatan Feri merupakan projek pertama yang diberikan keutamaan oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang memandangkan betapa pentingnya perhubungan, terutamanya perdagangan ditingkatkan di antara Pulau itu dengan tanah besar. Pada tahun 1957 perkhidmatan feri 'Pulau Pinang' mula dilancarkan iaitu feri penumpang dan pembawa kenderaan jenis besar di samping feri-feri lama. Namun begitu perkhidmatan ketika itu masih lagi tidak dapat menampung keperluan orang ramai untuk perjalanan ulang-alik dari Pulau Pinang ke Butterworth dan sebaliknya.
Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang mula menjalankan usaha memperbaiki perkhidmatan feri untuk memberi kemudahan kepada penumpang-penumpang dan kenderaan. Untuk tujuan tersebut pada awal tahun 1959 empat buah feri iaitu feri-feri Pulau Aman, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor dan Pulau Tioman telah memulakan perkhidmatannya. Dan pada 23 September dalam tahun 1959 dua buah pengkalan feri iaitu Pengkalan Raja Tun Uda dan Pengkalan Sultan Abdul Halim telah dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan sempurna. Kedua-dua pengkalan tersebut memulakan perkhidmatannya pada 1 Oktober 1959. Dalam ucapan perasmiannya YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memaklumkan bahawa beliau menamakan pengkalan baru Pulau Pinang dengan nama Raja Tun Uda, iaitu Gabenor Pulau Pinang yang pertama ialah untuk menghormati dan menghargai perkhidmatan beliau yang cemerlang di Pulau Pinang, manakala pengkalan baru di Butterworth dinamakan Pengkalan Sultan Abdul Halim adalah sempena mengambil nama Baginda Sultan Kedah Darul Aman, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badli Shah. Dari segi sejarah, Pulau Pinang dan Seberang Perai pada asalnya, sebelum dirampas oleh penjajah Inggeris adalah hak dan jajahan Negeri Kedah dan dengan itu adalah kena pada haknya dinamakan pengkalan itu kepada nama Baginda Sultan. Sesungguhnya dengan pembukaan dua buah pengkalan tersebut dalam tahun 1959, telah dapat meningkatkan lagi ekonomi dan perdagangan kedua-dua pengkalan tersebut di samping memberi kemudahan-kemudahan yang lebih baik dan sempurna kepada rakyat setempat khasnya dan negara amnya.
Artikel adalah dipetik dari laman berikut :http://www.arkib.gov.my/hids/readarticle.php?article_id=1528

No comments: