Wednesday, December 31, 2008

Mesyuarat Kurikulum Kali Pertama 2009


Jika semalam telah diadakan Mesyuarat Guru kali pertama untuk sesi 2009, hari ini Rabu, 31 Disember 2008 telah diadakan Mesyuarat Jawatankuasa Kurikulum Kali Pertama 2009 bertempat di Bilik Kualiti.

Sebagai mana biasa mesyuarat telah dipengerusikan oleh Puan Pengetua Kanan, Siti Arfah Ibrahim, PPT. Mesyuarat bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 12.15 tengahari.

Dalam mesyuarat ini, perancangan untuk unit kurikulum dibincangkan seperti tentang Dasar Kurikulum, P & P, Program Peningkatan Akademik, Peperiksaan dan Penilaian, Analisis Peperiksaan Akhir Tahun 2008, Pencerapan, PPSMTI, Penggunaan ICT dan hal-hal lain.

Semoga tahun 2009 nie SMTSM akan berjaya menjadi Sekolah Cemerlang sebagaimana yang diharapkan oleh Pengetua. Bidang akademik akan dapat melahirkan lebih ramai pelajar-pelajar yang cemerlang.

7 Formula Individu Cemerlang
1. Kenali kehebatan dan Potensi Diri
2. Meledakkan Taqwa
3. Melonjakkan Ilmu
4. Hidup Bermatlamat dan Berwawasan
5. Memelihara Amanah
6. Berfikiran Positif
7. Menyantuni Manusia.
Formula nie dipetik dari bahan edaran yang disampaikan oleh Puan Pengetua dalam mesyuarat semalam.

Tuesday, December 30, 2008

Mesyuarat Guru Kali Pertama 2009

Mesyuarat Guru untuk sesi persekolahan 2009 telah diadakan pada pukul 9.00 pagi hari ini 30 Disember 2008 bertempat di Bilik Persidangan. Mesuarat telah dipengerusikan oleh Pengetua Kanan, Puan Siti Arfah Binti Ibrahim. Dimulakan dengan Puan Pengtua memberi motivasi dan harapan kepada para guru untuk menjalankan tugas dengan lebih cemerlang pada tahun 2009. Seterusnya Penolong Kanan En Mohd Lotpi Razali menerangkan tentang pentadbiran dan kurikulum. Diikuti dengan En Wan Yusaini, Penolong Kanan HEM dan En Zulkipli Ismail, Penolong Kanan Ko-kurikulum.

Gambar disebelah kiri adalah gambar barisan kepimpinan SMTSM dan gambar guru-guru di sekitar mesyuarat berlangsung

Tahun 2009, terdapat 9 orang guru baru dan yang berpindah ke SMTSM.

Semasa mesyuarat setiap guru dibekalkan dengan Buku Rekod Mengajar, Buku Pengurusan dan Perancangan 2009 dan Diari Jabatan Pelajaran Perak 2009.
Semoga sesi persekolahan 2009 akan menjadikan SMTSM Sekolah Teknik Terunggul Di Perak. Betulkan niat, tentukan matlamat dan bekerjalah dengan rasa seronok seperti kata Pengetua semasa dalam kata-kata aluan.

Monday, December 15, 2008

Perjanjian Inggeris-Belanda 1824

Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 yang juga dikenali sebagai
Perjanjian London.
Syarat-syarat perjanjian:
Di antara syarat- syarat penting isi perjanjian ini ialah:-
* Belanda mengiktiraf pertapakan Inggeris di Singapura.
* Belanda akan menyerahkan Melaka kepada pihak Inggeris dan sebagai balasannya pihak Inggeris pula akan menyerahkan Bangkahulu kepada pihak Belanda.
* Penghapusan lanun di kawasan Kepulauan Melayu adalah tanggungjawab kedua-dua belah pihak (Inggeris & Belanda).
* Belanda tidak boleh membuat sebarang perjanjian atau terlibat di dalam hal ehwal negeri-negeri Melayu.
* Inggeris pula tidak boleh membuat sebarang perjanjian atau terlibat dalam hal ehwal mana-mana kerajaan di selatan Singapura, yang berada di bawah pengarauh pihak Belanda dan juga di Sumatera.
Kesan Perjanjian Inggeris Belanda
* Pembahagian Kepulauan Melayu kepada dua lingkungan pengaruh iaitu pengaruh British dan Pengaruh Belanda.
* Perpecahan Empayar Johor-Riau. Empayar Johor berakhir apabila Singapura dan Tanah Besar Johor jatuh ke tangan British dan Kepulauan Riau di bawah pengaruh Belanda.
* Persaingan kuasa di antara Belada dengan British semakin sengit.
* 1824 - Dengan Perjanjian Anglo-Belanda atau Perjanjian London, Melaka telah diletakkan di bawah pemerintahan British. Kemudian pada tahun 1826, Perjanjian Selat telah dibuat, di mana Pulau Pinang, Singapura dan juga Melaka telah di jadikan Negeri-negeri Selat yang berada dalam sistem pentadbiran yang sama.
* 1867 - Pentadbiran Negeri-negeri Selat telah dipindahkan dari Gabenor - ketua jabatan di India kepada Pejabat Kolonial di London dan Melaka telah menjadi koloni British.
Nota kaki: Hari ini kita belajar sikit tentang sejarah negara kita. Walaupun cuti sekolah buku pelajaran jangan lupa. Perjanjian Inggeris - Belanda atau Perjanjian London atau Perjanjian Anglo-Belanda 1824 antara perjanjian awal yang ditandatangani oleh penjajah yang melibatkan negara kita dan mencorak sejarah hingga hari ini.

Friday, November 28, 2008

Selamat Hari Raya Aidil Adha atau Korban

Hari Raya Aidil Adha, Hari Raya Korban atau Hari Raya Haji 1429H akan disambut oleh rakyat Malaysia pada hari Isnin, 8 Disember 2008. Mungkin lambat lagi ada seminggu lebih lagi tapi saja nak kongsi sejarah Hari Raya Korban. Sebab mungkin nanti tak sempat untuk letak entry tentang hari raya nie sebab minggu depan bermula kerja yang perlu diselesaikan masa cuti sekolah nie.
Hari Raya Aidiladha (bahasa Arab: عيد الأضحى 'Eid Ul-Adha) atau Hari Raya Haji merupakan perayaan yang dirayakan di seluruh dunia. Ia adalah perayaan terbesar di dalam Islam selain Aidilfitri yang disambut pada setiap 1 Syawal. Aidiladha disambut pada hari ke sepuluh, sebelas, dua belas dan tiga belas bulan Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan Takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha serta khutbah Aidiladha di pagi 10 Zulhijjah, sambutan diikuti dengan ibadah korban yang boleh dilakukan samada pada 10 atau 11 atau 12 atau siang 13 Zulhijjah.
Aidiladha adalah perayaan yang istimewa kerana ia merupakan hari untuk umat Islam memperingati kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan ke-sabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah s.w.t.
Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.

Dari segi bahasa, korban bermaksud dekat, manakala dari segi istilah ia bermaksud menjalankan perintah agama atau taat kepada perintah Allah kerana ingin mendekatkan diri kepada-Nya.
Hari Raya Korban jatuh pada hari kesepuluh pada bulan Zulhijjah, bulan terakhir pada kalender Hijrah Islam. 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah, di luar bandar Mekah.
Pada hari raya, orang Islam disunatkan mengenakan pakaian yang paling cantik, paling bersih, dan juga mengenakan wangi-wangian. Pada pagi hari raya korban, umat Islam akan mengerjakan sembahyang sunat Hari Raya sebanyak 2 rakaat akan diadakan pada sebelah pagi, biasanya agak awal sedikit Hari Raya Aidil Fitri.
Selain itu, salah satu keistimewaan Aidiladha dan Hari Tasyrik ialah ibadat korban. Ibadat korban ini hanya boleh dilakukan dalam empat hari iaitu bermula waktu selepas khatib menyampaikan khutbah Aidiladha sehingga sebelum tenggelam matahari pada hari ke-13 Zulhijah.
Selepas bersembahyang, upacara korban akan dimulakan. Lembu, kambing, dan biri-biri yang dikorbankan akan disembelih secara beramai-ramai di kawasan masjid sebelum dibahagi-bahagikan kepada orang ramai terutamanya kepada golongan fakir miskin.

Hari Raya Aidiladha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah, mengunjung Kaabah dan melakukan korban sembelihan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi umat Islam memegang bahawa perayaan korban ini memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya sebagai korban kepada Tuhan.
Artikel di atas dipetik dari laman berikut http://ms.wikipedia.org/wiki/Aidil_Adha

Wednesday, November 26, 2008

Memanfaatkan musim cuti sekolah

* Lakukan aktiviti bercorak keluarga seperti berjalan-jalan, jogging, berkebun, mengajar memasak dan bertukang kayu.
* Bagi ibubpa bawalah keluarga melancong dalam negeri. Lawatlah temapt-tempat yang menarik di seluruh negara bersama anak-anak. Kalau anda kurang mampu, bawalah anak-anak berkelah di tepi pantai atau taman rekreasi. Teluk Batikkan dekat...
* Bersukan atau bermain bersama keluarga. Ajar anak-anak permainan tradisional seperti gasing, galah panjang, kond-kondi, layang-layang, congkak, batu seremban dan lain-lain.
* Menonton bersama keluarga. Apabila menonton televisyen bersama, bincang dengan anak-anak rancangan yang ditonton serta iklan-iklan yang disiarkan.
* Makan bersama semua ahli keluarga. Ahli-ahli keluarga berpeluang menjalinkan kemesraan pada waktu makan.
* Kalau ada perpustakaan awam yang berhampiran anda, bawalah anak-anak ke sana dan tanamkan tabiat membaca
* Kalau anda mempunyai kemudahan internet di rumah, jelajahlah dunia maklumat bersama anak-anak.
* Menggalakkan anak-anak mengasah bakat mereka dengan menghadiri kelas tarian, kelas vokal, kelas muzik dan kelas drama
* Menggalakkan anak-anak menghadiri aktiviti-aktiviti sihat seperti kelas bela diri, sukan dan permainan, kembara dan lawatan
* Bagi pelajar-pelajar ambil kesempatan cuti sekolah untuk mengulangkaji pelajaran.

Friday, November 21, 2008

Feri Pulau Pinang

Pada 23 September 1959, dua buah Pengkalan Feri yang terletak di Pulau Pinang dan Butterworth telah dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu dengan diberi nama Pengkalan Raja Tun Uda di Pulau Pinang dan Pengkalan Sultan Abdul Halim di Butterworth. Suasana dalam feri dahulu
Perkhidmatan Feri merupakan projek pertama yang diberikan keutamaan oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang memandangkan betapa pentingnya perhubungan, terutamanya perdagangan ditingkatkan di antara Pulau itu dengan tanah besar. Pada tahun 1957 perkhidmatan feri 'Pulau Pinang' mula dilancarkan iaitu feri penumpang dan pembawa kenderaan jenis besar di samping feri-feri lama. Namun begitu perkhidmatan ketika itu masih lagi tidak dapat menampung keperluan orang ramai untuk perjalanan ulang-alik dari Pulau Pinang ke Butterworth dan sebaliknya.
Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang mula menjalankan usaha memperbaiki perkhidmatan feri untuk memberi kemudahan kepada penumpang-penumpang dan kenderaan. Untuk tujuan tersebut pada awal tahun 1959 empat buah feri iaitu feri-feri Pulau Aman, Pulau Langkawi, Pulau Pangkor dan Pulau Tioman telah memulakan perkhidmatannya. Dan pada 23 September dalam tahun 1959 dua buah pengkalan feri iaitu Pengkalan Raja Tun Uda dan Pengkalan Sultan Abdul Halim telah dibuka dengan rasminya oleh YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik dan sempurna. Kedua-dua pengkalan tersebut memulakan perkhidmatannya pada 1 Oktober 1959. Dalam ucapan perasmiannya YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj memaklumkan bahawa beliau menamakan pengkalan baru Pulau Pinang dengan nama Raja Tun Uda, iaitu Gabenor Pulau Pinang yang pertama ialah untuk menghormati dan menghargai perkhidmatan beliau yang cemerlang di Pulau Pinang, manakala pengkalan baru di Butterworth dinamakan Pengkalan Sultan Abdul Halim adalah sempena mengambil nama Baginda Sultan Kedah Darul Aman, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Al-Marhum Sultan Badli Shah. Dari segi sejarah, Pulau Pinang dan Seberang Perai pada asalnya, sebelum dirampas oleh penjajah Inggeris adalah hak dan jajahan Negeri Kedah dan dengan itu adalah kena pada haknya dinamakan pengkalan itu kepada nama Baginda Sultan. Sesungguhnya dengan pembukaan dua buah pengkalan tersebut dalam tahun 1959, telah dapat meningkatkan lagi ekonomi dan perdagangan kedua-dua pengkalan tersebut di samping memberi kemudahan-kemudahan yang lebih baik dan sempurna kepada rakyat setempat khasnya dan negara amnya.
Artikel adalah dipetik dari laman berikut :http://www.arkib.gov.my/hids/readarticle.php?article_id=1528

Wednesday, November 19, 2008

Sejarah Pulau Pinang

Kebetulan baru balik dari kursus di Pulau Pinang, jadi apa kata kita lihat pula sejarah tentang Pulau Pinang yang lebih terkenal dengan gelaran Pulau Mutiara.

Pulau Pinang ialah sebuah negeri yang terletak di pantai barat laut Semenanjung Malaysia. Negeri ini terbahagi kepada dua bahagian oleh Selat Melaka. Negeri ini merupakan petempatan British yang pertama di Semenanjung Malaysia.

Nama pulau ini diambil daripada nama pokok pinang (areca catechu).

Pulau Pinang yang pada asalnya kepunyaan Kesultanan Kedah, diserah hak kepada Syarikat Hindia-Timur British (British East India Company) pada 1786 oleh Sultan Muhammad Jiwa, Sultan Kedah, sebagai gantian untuk mendapat perlindungan pihak British daripada serangan Siam dan Burma. Pada 11 Ogos 1786, Kapten Francis Light, yang dikenali sebagai pengasas Pulau Pinang, menamakan pulau sebagai Pulau Prince of Wales untuk menghormatkan Raja Muda Britain. Penempatan di Tanjung Penaigre yang terletaknya di hujung timur laut pulau dinamakannya "Georgetown", iaitu nama Raja George III dari Britain.

Kapten Francis Light: Pengasas atau perampas? Kedudukan pulau di permulaan Selat Melaka telah membangkit minat Syarikat Hindia-Timur British untuk menggunakannya sebagai sebuah pelabuhan untuk kapal-kapal perdagangannya dan juga sebagai sebuah pangkalan tentera laut untuk menentang cita-cita orang Perancis di wilayah.

Tanpa pengetahuan Sultan Muhammad Jiwa, Light telah membuat perjanjian pemberian perlindungan askar tanpa kebenaran Syarikat Hindia-Timur British. Apabila syarikat gagal dalam membantu Kedah sewaktu ia diserang oleh Siam, Sultan Kedah cuba mengambil kembali pulau pada 1790. Malangnya, pencubaan itu gagal dan Sultan Muhammad Jiwa terpaksa menyerah hak kepada Syarikat dengan hanya bayaran kehormat sebanyak 6,000 dolar Sepanyol setahun. Bayaran ini dinaikkan kepada 10,000 dolar kemudian, dengan penyerahan Seberang Perai (Province Wellesley) pada 1800. Sehingga hari ini, pembayaran diteruskan oleh kerajaan pusat Malaysia yang membuat pembayaran kepada negeri Kedah.

Pada 1826, negeri Pulau Pinang, bersama-sama dengan Melaka dan Singapura, menjadi sebahagian Kawasan Penempatan Selat (Straits Settlements) di bawah pentadbiran British di India. Negeri ini menjadi tanah jajahan pemerintahan British pada tahun 1867. Pada 1946, Pulau Pinang menjadi sebahagian Malayan Union, sebelum menjadi sebuah negeri di Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948. Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 dan Pulau Pinang menjadi salah satu daripada 13 negeri di dalam Persekutuan Malaysia sewaktu penubuhannya pada tahun 1963.

Pulau Pinang ialah sebuah pelabuhan bebas sehingga 1969. Walaupun kehilangan taraf pelabuhan bebas, Zon Perdagangan Bebasnya yang terletak berdekatan dengan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang di selatan pulau menjadi salah satu daripada pusat-pusat perkilangan elektronik yang terbesar di wilayah Asia dari 1970-an sehingga akhir 1990-an.
Maklumat di atas dipetik dari artikel di: http://halaqah.net/v10/index.php?topic=1389.0

Wednesday, November 05, 2008

Selamat Menghadapi Peperiksaan SPM 2008

Hot Glitter Graphics Icons n Comments @ orkut-scrapbook.com
Peperiksaan SPM akan bermula pada hari Selasa,11 November 2008. Tinggal lebih kurang 5 hari sahaja lagi. Di saat-saat akhir ini ulang kaji jangan diabaikan. Kepada pelajar-pelajar semua semoga berjaya dalam peperiksaan SPM ini dan seterusnya dalam kehidupan di masa-masa mendatang. Oleh kerana kesibukan yang tidak dapat dielakkan, maka blog nie sudah lama tidak diupdate. Insyaallah setelah selesai semua kesibukan ini proses update akan berjalan semula.
Good luck and all the best for your SPM 2008...

Wednesday, October 29, 2008

Berjumpa Guru

Di sebelah kanan tu adalah Muhamad Amar Hadi dan belah kiri pula Sheikh Ahmad Khusyairee pelajar 5 EK 2. Mereka berdua sekarang rajin berjumpa guru-guru untuk bertanya tips tentang belajar dan kemusykilan yang dihadapi dalam pelajaran. Alhamdulillah. Alangkah baiknya jika lebih ramai lagi pelajar yang dah "insaf" seperti mereka dan datang bertanya guru-guru. Mesti guru-guru gembira menerima kunjungan mereka ke bilik guru.

Tidur...


Nie gambar yang diambil semasa Kertas 2 Sejarah sedang berlangsung di kelas 4 KE 3. Cuba lihat gambar belah kiri, nampak tak pelajar di belakang tidur dan yang depan sedang menjawab soalan. Tapi tak lama selepas tue, dia pun join sekali tidur. Alahaiii...

Gambar di atas pulak cuba lihat pelajar di meja tengah. Gambar belah kiri semasa kali pertama dia tidur dan setelah dikejutkan dia tukar pulak style tidur seperti gambar belah kanan. Hhmm.... Pelajar-pelajar nie bila ditegur ada pulak yang menjawab, "saya tak tidur pun". Tapi mata merah.

Kertas Sejarah - Peperiksaan Akhir Tahun 2008 Tingkatan 4

Hari ini pelajar-pelajar tingkatan 4 menduduki Kertas 1 dan 2, Sejarah- 1249 untuk Peperiksaan Akhir Tahun Tingkatan 4 bagi tahun 2008. Gambar nie diambil dalam kelas 4KE3 di awal peperiksaan sejurus selepas diedarkan kertas peperiksaan untuk kertas 2 lebih kurang pada pukul 8.10 pagi.
Masing-masing masih membaca soalan dan melihat-lihat kertas yang baru diterima. Senang je kan???

Tuesday, October 28, 2008

Kesilapan Pelajar dan Cara Mengatasi

Terdapat pelbagai masalah yang dihadapi oleh calon ketika belajar Sejarah. Antaranya ialah tidak mengulangkaji secara konsisten, kurang membuat latihan, gemar meramal soalan dan tidak mengetahui teknik menjawab soalan dengan betul. Cerita arnab dan kura-kura memberi banyak pengajaran berkaitan dengan penggunaan masa, ketahanan mental dan usaha yang konsisten.

Dalam kisah itu, Sang Arnab yang mempunyai kekuatan berlari dengan pantas telah dikalahkan oleh Sang Kura-Kura yang berjalan lambat tetapi konsisten. Sebenarnya istilah ‘tiada mood’ atau ‘ada mood’ tidak harus wujud dalam mengulangkaji pelajaran. Calon boleh merujuk guru Sejarah pada bila-bila masa jika menghadapi masalah pemahaman terhadap sesuatu tajuk. Calon perlu menghabiskan 3 jam sehari atau sekurang-kurangnya sejam bagi mana-mana tajuk Sejarah tersebut.

Di samping melakukan secara konsisten calon perlu membuat latihan untuk meningkatkan kecekapan. Kekerapan mengulangkaji adalah kunci kepada kefahaman kerana ia mengatasi proses lupa! Ingat! Lupa berlaku disebabkan oleh maklumat yang diterima tidak diulangi dan diulangkaji.
Cara belajar Sejarah yang berkesan ialah melalui proses yang sistematik, iaitu maklumat yang dibaca dimasukkan ke dalam minda secara tersusun dan konsisten. Semak tajuk yang belum diulangkaji dan tajuk yang belum diulangkaji.

Calon perlu menyedari bahawa latihan di kelas, di pusat tuisyen dan di rumah bertujuan memberi kefahaman tentang sesuatu topik. Namun begitu, ramai calon SPM membuat latihan secara sambil lewa dan tidak sepenuh hati. Ramai calon SPM tidak menggunakan masa luang yang ada.

Lebih malang lagi ada calon tidak berusaha membuat persediaan (tidak mengulangkaji) sebelum menjawab soalan latihan yang diberi oleh guru. Ingat! Belajar Sejarah yang berkesan ialah melalui proses ulang dan kaji.
Janganlah mengharapkan keputusan yang cemerlang, sekiranya kekerapan anda mengulangkaji boleh dihitung dengan jari.

Saya ulangi, calon perlu kerap membaca dan mengulangkaji untuk mengingat fakta Sejarah. Setiap tahun, soalan ramalan dikeluarkan oleh pelbagai sumber. Bagi calon SPM yang telah bersedia awal, soalan ramalan hanya merupakan soalan yang perlu diberi penekanan.

Sebenarnya mereka sudah bersedia menghadapi apa jua jenis soalan yang meliputi pelbagai tajuk. Tetapi terdapat ramai calon SPM yang belum bersedia. Mereka menggadaikan masa depan dengan bergantung kepada soalan ramalan semata-mata. Tindakan ini sangat berbahaya. Sekiranya soalan yang diramal itu tidak keluar sudah tentulah anda yang keluar!

Saya mengesyorkan calon SPM mengulangkaji bab yang mudah dahulu dikuti bab yang lebih sukar secara konsisten.

Ramai calon SPM mengulangkaji mengikut bab yang mereka sukai sahaja. Ini baik untuk mendorong anda bersemangat dan meminati pelajaran Sejarah. Namun begitu topik dalam Sejarah mempunyai kesinambungan iaitu ditulis dari bab yang mudah kepada bab yang susah. Calon harus menguasai bab yang awal dahulu sebelum bab yang kemudian.

Walau apa pun anda perlu menghadiri kelas pada setiap hari. Kegagalan anda mengikuti sesuatu tajuk akan mengganggu kefahaman anda terhadap tajuk tersebut.

Terdapat pelbagai teknik pembelajaran Sejarah seperti menyenaraikan isi kandungan, menulis nota peta minda, teknik perbincangan, penggunaan teknik mnemonik untuk tajuk yang membosankan dan sebagainya. Kesemua teknik adalah berkesan dan baik jika bersesuaian dengan cara anda belajar.
Salah satu kelemahan calon SPM ialah menjawab soalan struktur dan esei dengan teknik yang cepat, tepat dan betul. Calon perlu mempunyai pengetahuan, maklumat dan telah menguasai semua tajuk dalam buku teks Sejarah.

Secara umum calon perlu menjawab soalan objektif menggunakan kaedah berikut.
* Pastikan bahawa anda membaca semua soalan dengan teliti. Fahamkan betul-betul sebelum menjawab
* Jawab semua soalan yang anda pasti atau yakin tentang jawapannya terlebih dahulu sebagai strategi memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya.
* Tandakan jawapan anda dengan jelas di tempat yang disediakan sebaik sahaja setiap soalan dibaca
* Tinggalkan dahulu soalan susah atau tidak pasti jawapannya.
* Bagi soalan susah atau anda tidak pasti dengan jawapannya, pilih jawapan yang betul dengan memotong pilihan jawapan yang tidak munasabah atau meragukan melalui kaedah peyingkiran
* Singkirkan pilihan jawapan yang tidak munasabah atau meragukan anda
* Jika tinggal dua jawapan, pilih jawapan yang anda fikir lebih tepat dan munasabah

Sunday, October 26, 2008

MENGATASI PELBAGAI SOALAN DAN KEBIMBANGAN

Saya tidak tahu dimana patut bermula.
Jangan panik. Senaraikan semua perkara yang perlu anda lakukan. Agih-agihkan tugasan anda kepada bahagian yang lebih kecil dan mudah dilaksanakan. Tentukan keutamaan tugasan, yang utama didahulukan. Rancang masa untuk menyelesaikan setiap tugasan ini sebaik-baiknya. Jangan sesekali ponteng kelas ketika hampir dengan peperiksaan. Anda mungkin tertinggal ulangkaji dan tip-tip penting yang dibincangkan oleh guru atau pensyarah. Gunakan masa-masa rehat yang ada untuk mengimbas kembali apa yang telah dipelajari. Berikan masa bukan sahaja untuk belajar tetapi juga untuk merancang strategi pembelajaran anda. Jangan terburu-buru, mulakan belajar anda dengan topik yang senang dahulu. Mulakan 30 minit – 1 jam dahulu. Semakin lama, terutamanya apabila semakin hampir dengan peperiksaan, tingkatkan waktu belajar anda.

Terlalu banyak untuk dibaca sedangkan peperiksaan semakin hampir.
Buat tinjauan. Berikan masa untuk anda membuat tinjauan keseluruhan topik. Kenalpasti topik-topik penting. Fahami konsep-konsep penting. Pastikan topik yang anda maih belum faham. Mulakan belajar topik yang penting-penting dahulu. Mana-mana topik yang kurang penting, dan tidak sempat diulangkaji sepenuhnya, fokus hanya kepada fakta-fakta utama. Tetapi ingat, tinjauan hanya boleh membantu sekiranya anda benar-benar sudah tidak punya masa. Kalau anda masih sempat membacanya, maka bacalah dengan terperinci.

Subjek ini cukup membosankan. Anda rasa jemu dan mengantuk apabila membacanya.
Belajar secara aktif bukannya pasif. Gunakan kaedah membaca yang berkesan. Dapatkan soalan-soalan berkaitan dengan topik yang dipelajari sebelum memulakan ulangkaji. Pelbagaikan aktiviti ketika belajar. Selang-selikan diantara aktiviti membaca dengan menulis nota, melakar peta minda (atau peta konsep), menghafal, menggaris kata kunci dan menjawab soalan-soalan. Libatkan diri anda sebanyak mungkin dengan apa yang sedang dibaca. Tukarkan apa yang dibaca kepada gambaran minda. Belajar bersama rakan yang lebih arif tentang subjek tersebut dan bincangkan.

Anda baca dan anda faham, tetapi anda tidak mampu mengingatinya.
Cuba kaitkan apa yang sedang anda pelajari dengan apa yang telah aanda ketahui. Gunakan beberapa pendekatan untuk mengingat seperti:Hafal kata kunci, bukannya hafal ayat.Gunakan Teknik Ceraian.Gunakan Teknik Mnemonik.
Tuliskan fakta-fakta penting pada kad dan bawanya bersama anda kemana sahaja. Kerapkan buat imbasan terhadap kad- kad ini.Anda rasa anda faham apa yang dibaca. Anda rasa anda telah mengingatinya.Jangan cepat merasa puas hati dengan apa yang anda usahakan. Uji ingatan dan pengetahuan anda. Jawab soalan-soalan dari buku atau dari peperiksaan tahun-tahun sebelumnya. Bina soalan-soalan berdasarkan tujuh soalan asas iaitu Apa? Siapa? Bila? Dimana? Berapa? Kenapa? Bagaimana? Misalnya, kalau anda sedang membaca sejarah Melaka diserang Portugis, tanyakan soalan-soalan seperti:
Bila Melaka diserang?
Kenapa Melaka diserang?
Siapa yang menyerang?
Bagaimana Melaka diserang?

Terlalu banyak untuk dihafal dan diingat.
Penyusunan maklumat. Maklumat dan fakta-fakta dapat dikeluarkan dengan lebih baik sekiranya ia dibaca, dihafal dan disimpan dalam bentuk yang sistematik. Terdapat pelbagai pendekatan yang boleh anda guna untuk menyusun maklumat atau fakta ini, antaranya ialah:

1. Tuliskan rangka setiap bab yang dibaca atau ringkasan tentangnya. Perhatikan perkaitan antara satu bahagian dengan bahagian yang lain dalam tajuk tersebut.
2. Cuba kumpulkan maklumat kepada beberapa kategori berdasarkan persamaan yang ada.
3. Cuba bahagikan kepada hieraki (sekiranya ini boleh dilakukan).
4. Pemetaan maklumat. Cuba lakarkan peta konsep bagi menyusun bahan-bahan yang ada perkaitan. Misalnya kalau anda sedang membaca sejarah tentang perang dunia kedua, anda mungkin boleh buatkan satu carta tentang semua negara yang terlibat. Kemudian senarai isu penting atau peristiwa penting disebelah carta tersebut. Anda mungkin kaitkan kembali isu/perkara penting ini dengan negara-negara tersebut berdasarkan kepentingan dan kesan ke atas mereka

Tadi anda masih ingat tetapi kenapa kini anda lupa?
Sering buat imbasan. Kajian menunjukkan bahawa sebagai manusia normal anda akan lupa 80% apa yang telah dibaca hanya dalam masa 24 jam. Oleh itu anda perlu merancang satu strategi agar anda mampu mengatasi kelemahan ini. Pastikan setiap apa yang anda baca telah diringkaskan. Jadikan fakta seringkas mungkin dengan syarat apabila anda melihat fakta tersebut anda mampu menceritakan semula apa yang mahu disampaikan olehnya. Ada ketikanya fakta yang panjang sekalipun mampu anda ringkaskan menjadi dua atau tiga patah perkataan. Selepas 24 jam, cuba lihat nota ringkas anda ini. Cuba ceritakan semula apa yang anda fahami. Sekiranya anda mampu menceritakannya, bermakna anda sudah mampu memanggil semula maklumat tersebut. Sekiranya tidak, semak semula sekali imbas teks asal. Berikan masa menjawab soalan-soalan berkaitan dengannya bagi mengukuhkan lagi ingatan anda. Semak semula apa yang dibaca dari semasa ke semasa. Dengan cara ini anda tidak perlu bersusah payah membaca teks asal kembali sewaktu hampir dengan peperiksaan.

Anda suka belajar disaat-saat akhir.
Ramai pelajar yang berpendapat lebih baik belajar disaat-saat akhir, sebab kalau belajar awal pun nanti lupa juga. Pendapat di atas adalah tidak benar. Anda perlu belajar seawal mungkin bagi mengenal pasti kelemahan dalam sesuatu bab. Dengan belajar awal juga anda punya banyak masa untuk bertanya pada guru dan rakan-rakan. Salah satu rahsia belajar ialah kekerapan. Lagi kerap sesuatu bahan itu diulangbaca maka lagi besar potensi untuk anda memahami dan mengingatinya. Oleh itu, mulakan langkah anda sekarang. Mulakan sedikit dahulu. Mulakan dengan yang mudah-mudah dahulu dan apabila minat dan semangat mula berputik, barulah lakukan dengan lebih bersungguh-sungguh.

Sumber : http://www.usm.my/education/kaunseling/tip.htm

Saturday, October 25, 2008

Usaha Tangga Kejayaan

Azizul Hakim bin Zamzuri pelajar dari 5 KE 2 telah mengalami satu kemalangan jalanraya pada bulan Ogos lalu dan satu pembedahan telah dijalankan kerana dia mengalami keretakkan di tempurung kepalanya dan menyebabkan pembengkakkan di otaknya. Oleh itu dia telah bercuti selama lebih kurang dua bulan setelah kejadian tersebut. Alhamdulillah dia telah kembali pulih dan sedia untuk mengikuti pelajarannya semula dan menduduki peperiksaan SPM pada 11 November 2008 ini.
Sepanjang tempoh bercuti dia ketinggalan dalam pelajarannya terutama dalam bab 9 iaitu Malaysia Dalam Kerjasama Antarabangsa. Satu bab yang penting untuk soalan esei Kertas 2 SPM. Hari Jumaat semalam dia telah berjumpa dengan saya untuk mengikuti apa yang dia ketinggalan. Dan pagi Sabtu ini dia telah datang ke rumah untuk belajar apa yang dia ketinggalan dan bertanya kemusykilannya. Satu usaha yang baik dan patut dijadikan contoh oleh pelajar yang lain. Ada pelajar yang sihat tanpa sebarang masalah kesihatan dengan sengaja ponteng sekolah dan ketinggalan dalam mata pelajaran. Mereka ini tidak pula berusaha untuk bertanya guru tentang apa yang mereka ketinggalan. Ingatlah usaha tangga kejayaan, jika tidak dipecahkan ruyung manakan dapat sagunya, sehari selembar benang lama-lama akan menjadi kain dan macam-macam lagi peribahasa untuk memberi semangat agar kita berjaya. Ingat SPM tak lama lagi.

Adakah Belajar Sejarah Satu Beban

Peringatan oleh Majlis Raja-Raja Melayu wajar diberi perhatian oleh pihak-pihak yang cuba menangguk di air keruh mempersoalkan perkara-perkara yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan selama lebih setengah abad.
Politik mutakhir diperhatikan oleh rakyat dengan penuh minat dan bak kata pepatah Inggeris, jangan perhatikan yang tersurat tetapi apa yang tersirat.
Tuntutan demi tuntutan, cadangan demi cadangan telah dibuat oleh rakan kongsi Barisan Nasional (BN) kononnya bagi meraih sokongan rakyat kembali di beberapa buah negeri yang dimenangi pembangkang, sebenarnya hanya pihak yang 'terkena getah nangka' yang tahu puncanya. Yang makan nangka jangan pula 'lontar batu sembunyi tangan'.
Faktor kekalahan BN di beberapa buah negeri wajar dilihat secara mikro dan makro. Menuding ke arah seseorang yang menjadi punca sesuatu kekalahan memang tradisi zaman-berzaman. Seolah-olah sesuatu kepimpinan dilihat berfungsi sebagai bukan dalam satu pasukan. Mengapa kapten sahaja yang dikenakan kad merah sedangkan pasukan beliau telah menang dan bukannya kalah atau seri.
Dalam suasana harmoni dan detik kemajuan negara telah mencetuskan anak-anak Malaysia yang menganggap sejarah sebagai kenangan semata-mata dan mula mempersoalkan di mana mereka akan berakhir dan bukannya di mana mereka bermula.
Keamanan negara adalah hasil dari toleransi kaum yang tidak dapat ditemui di mana-mana negara di dunia ini. Dengan keamanan ini ekonomi menjadi makmur dan politik stabil. Para pelabur asing senang hati menabur modal di negara ini. Pekerja asing sanggup bergolok-gadai untuk mencari makan di negara kita, sedang anak tempatan terperangkap dengan kejumudan pemikiran.
Apabila cadangan memperkasakan subjek Sejarah bukan bermakna subjek itu perlu diwajibkan untuk lulus pada peringkat sekolah rendah atau menengah. Apa yang perlu ialah ia wajib diajar bukannya wajib lulus untuk peperiksaan besar.
Mungkin ada guru Sejarah yang akan naik marah kerana terpaksa menambah beban tugasan. Sejarah bukan berniat merendahkan sesuatu bangsa dan kaum, ia adalah untuk memastikan asas yang dibentuk oleh generasi terdahulu terpelihara dalam suasana harmoni dan bertamadun.
Isu-isu sensitif yang dimainkan pelbagai pihak perlu dihentikan segera. Isu yang diraih perlu berpaksikan sejarah negara. Pemimpin-pemimpin terdahulu ada yang telah pergi meninggalkan kita, namun zat-zat perjuangan mereka perlu difahami generasi hari ini.
Jangan kita memahami sejarah bangsa sendiri hanya untuk melepaskan tengkuk sendiri dan memporak-perandakan dan merendahkan martabat bangsa yang sedari dahulu menerima kedatangan pelancong, peniaga-peniaga dan pekerja-pekerja asing dengan tangan terbuka sehingga ke saat ini. Mengapa perlu diganggu gugat hubungan harmoni ini.
Sejarah Langkasuka, Gangga Negara, Melaka dan Temasik bukan sejarah palsu. Kedatangan Islam juga suatu fakta. Kahwin campur antara pedagang dan orang tempatan menghasilkan keturunan peranakan di Pulau Pinang, Melaka dan seantero Tanah Melayu.
Kedatangan pedagang untuk cari makan, kemudiannya mencari pasangan dan terus menetap di bumi bertuah ini. Hidup berkongsi rezeki adalah amalan orang Melayu yang juga digalakkan oleh agama Islam.
Cakap-cakap menjustifikasi orang Melayu adalah pendatang sama seperti bangsa lain menuntut Raja-Raja Melayu bersuara kerana hak yang dinikmati oleh rakyat sejak 31 Ogos 1957 untuk memimpin negara adalah hasil daripada rahmat dan perkenan baginda-baginda Sultan, Raja dan Yamtuan Besar. Jangan dilupakan fakta tersebut dan menganggap negara ini terjadi dengan sendiri tanpa sejarah tersendiri.
Sejarah memang adil bagi mereka yang menghargainya dan bukan sekadar mengenangnya untuk kepentingan politik sempit dan menjadi popular demi kepentingan ekonomi kendiri. Yang jelas kita jangan menempelak orang lain apabila diri sendiri tewas.
Belajarlah dari sejarah diri sendiri, jika kita tidak memberi hak kepada seseorang yang berhak maka masa akan mengajar kita hingga kita tidak mampu menerima hakikat pahit tersebut.
Sejarah mengajar kita untuk menjadi dewasa dan matang. Hakikat bagi memperkuatkan kembali BN khususnya dan kerajaan amnya memerlukan ekonomi diperkuat dan diperkasakan oleh legasi kepimpinan tertinggi.
Bagi BN, perlu diperingatkan bahawa konsep 'jika memberi biar semua merasa' memang baik namun jangan dilupakan hakikat siapa yang memberi kuasa dan siapa yang menaungi kita selama 51 tahun ini.
Meminta biar pada masanya, kena pada caranya, tertib pada majlisnya. Sejarah jangan dijadikan rujukan semata-mata untuk mempertahankan sesuatu dari terlepas ke tangan orang lain. Ia perlu difahami, dihargai, dicintai oleh generasi muda. Sejarah perlu menjadi sempadan kita dan bukannya beban.
Nota kaki: Artikel di atas dipetik dari akhbar Utusan Malaysia bertarikh 21 Oktober 2008, Selasa yang ditulis oleh Abdul Razak Idris dari Banting, Selangor. Pada pendapat saya dan mungkin guru-guru Sejarah yang lain, untuk memperkasakan mata pelajaran Sejarah adalah satu perkara yang telah lama ditunggu-tunggu. Ini kerana selama ini ramai yang beranggapan Sejarah satu mata pelajaran yang membebankan, membosankan dan tidak mempunyai nilai komersial seperti mata pelajaran sains dan matematik. Semoga selepas ini perhatian yang lebih akan diberikan untuk Sejarah dan bukan dipinggirkan.

Thursday, October 23, 2008

Tamadun Awal 40,000 - 2,000 Tahun Dahulu di Tanah Melayu

Sejarah awal tamadun manusia di Tanah Melayu telah bermula tidak kurang 200,000 tahun dahulu di mana bukti-bukti kewujudan manusia dapat di jumpai sekitar Kota Tampan di Lenggong, Perak. Antara penemuan terbesar yang pernah di rekodkan dalam kajian sejarah Malaysia ialah penemuan rangka manusia yang berumur sekitar 11,000 tahun di Lenggong yang diberi nama ‘Perak Man’ atau ‘Orang Tampan’.
Di kawasan sekitar Lenggong juga, ditemui beberapa kawasan pembuatan peralatan-peralatan batu bagi membuat andas dan tukul-tukul batu bagi kegunaan manusia pra-sejarah yang masih terpelihara dengan baik.
Selain kewujudan manusia pra-sejarah Tanah Melayu di Lenggong Perak, antara penemuan terbesar Malaysia juga terdapat di sekitar Gua Niah, Sarawak. Bukti-bukti yang berusia lebih kurang 40,000 tahun ini menunjukkan bahawa sudah ada penempatan manusia sejak sekian lama.
Salah satu bukti kewujudan manusia pra-sejarah yang terkenal ialah lukisan-lukisan di dinding Gua Tambun seperti di bawah.

Wednesday, October 22, 2008

Perak Man

Perak Man adalah satu-satunya rangka manusia Paleolitik yang paling lengkap ditemui di Asia Tenggara. Perak Man hidup lebih kirang 10,000 tahun dahulu dan mati akibat sakit tua atau penyakit pada umur 40-45 tahun. Umur ini dianggap sangat tua kerana manusia pada zaman itu dianugerahkan hidup sekitar 20 – 30 tahun sahaja. Perak Man dilahirkan dengan kecacatan fizikal Brachymesophalangia kerana mempunyai banyak pengalaman dan pengetahuan tentang memburu dan memungut makanan, ubat-ubatan, adat resam serta spek-aspek lain dalam kehidupan pada zaman Paleolitik. Perak Man telah dikebumikan di Gua Gunung Runtuh dengan penuh adat istiadat di mana ianya ditemui dalam posisi kedua-dua kinya dilipatkan ke dada seprti anak dalam kandungan dan dikirimkan dengan alat batu dan makanan yang terdiri dari 3,000 siput sedut dan daging (babi hutan, rusa , biawak, labi-labi, kera dan mungkin jiga kijang, siamang dan harimau bintang).

Gua Gunung Runtuh

Lembah Lenggong mempunyai sejumlah 16 gua, termasuk beberapa yang berpotensi untuk dibangunkan sebagai pusat tarikan pelancong. Sumber berpotensi ini akan menerima sambutan baik terutamanya daripada pelancong yang berminat kepada aktiviti meneroka gua dan sejarah zaman purba. Di antara gua-gua yang berpontensi termasuklah Gua Kajang (dimana terdapat tulisan zaman purba) dan Gua Gunung Runtuh (tempat dijumpai tulang-tulang "Perak Man"). Kota Tampan merupakan satu kawasan tarikan arkeologi di mana tinggalan zaman "Paleolitic" telah dijumpai. Di bahagian utara daerah ini juga terdapat gua batu kapur di Bukit Damar.

BUNGA RAYA (HIBISCUS ROSA-SINENSIS)

Pada peringkat awal, tujuh jenis bunga telah dicadangkan untuk dipilih sebagai Bunga Kebangsaan. Bunga-bunga yang dicadangkan adalah Kenanga, Melur, Teratai, Mawar, Cempaka, Bunga Tanjung dan Bunga Raya. Setelah satu proses pemilihan yang rapi, Bunga Raya telah diisytiharkan sebagai Bunga Kebangsaan pada 28 Julai 1960 oleh Perdana Menteri Malaysia pada ketika iaitu iaitu, TYM Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putera Al-Haj. Warna merah sebenarnya membawa maksud keteguhan politik dan ekonomi serta sifat keberanian dalam menempuh cabaran. Ia terus menjadi simbol kemegahan negara apabila ia digunakan sebagai simbol pada logo-logo, lencana, bendera dan setem malah turut diterjemahkan pada wang kertas dan syiling Malaysia. Bunga Raya juga dipilih sebagai lambang kebanggaan berdasarkan kepada beberapa sifat bunga raya yang unik. Bentuk lima kelopak yang terdapat pada Bunga Raya telah dikaitkan dengan lima prinsip Rukun Negara di mana ia merupakan salah satu strategi untuk mencapai perpaduan negara serta masyarakat yang adil dan saksama.

Tuesday, October 21, 2008

Program Gilap Bintang dan Galas Harapan Sejarah - 3


Untuk hari ini, program diteruskan dengan kelas 5 EK 2. Segunung harapan disandarkan kepada semua pelajar agar mereka dapat menjawab soalan sejarah dengan cemerlang semasa SPM nanti. Usaha dari pelajar-pelajar ku ini perlu dilipat gandakan dan jangan berputus asa. Latihan Pecutan Akhir Sejarah SPM yang diberikan diharapkan siap. Semasa gambar ini diambil ada yang malu-malu dan terus tunduk. Tapi memang ada yang bersungguh-sungguh melaksanakan tugasan yang diberi.

Semoga kesungguhan yang digambarkan dalam gambar ini akan terus meresap ke dalam jiwa para pelajar.

Kuiz Untuk Mengulangkaji


Pelajar-pelajar aliran teknik telahpun memulakan Peperiksaan Akhir Tahun 2008 mulai semalam dan pelajar vokasional bermula hari Khamis. Oleh itu semasa masuk ke kelas 4 VE 4 pagi ini, pelajar-pelajar mahu diadakan kuiz antara mereka sebagai satu ulangkaji untuk menghadapi peperiksaan. Gambar di atas adalah dua orang jurukuiz dan penjaga masa yang dilantik untuk kuiz tersebut.

Pelajar dibahagikan kepada 3 kumpulan mengikut tempat duduk mereka dan kumpulan yang pertama telah memenangi kuiz sejarah pada kali ini diikuti kumpulan ketiga. Kelihatan pelajar-pelajar tekun mendengar soalan yang dikemukakan oleh jurukuiz.

Kumpulan yang menang untuk kuiz pada kali ini.
Soalan kali ini adalah meliputi Bab 9 dan Bab 3 dari sukatan tingkatan 4. Oleh kerana masa terhad, maka setiap kumpulan hanya menjawab 7 soalan sahaja. Kerana sambutan yang baik dan ada permintaan maka kuiz ini akan diteruskan di lain kali.

Soal Jawab: Sejarah perlu diajar bersama subjek sosial

Pengajaran peringkat awal dapat jadi teladan supaya perjuangan tokoh dihargai

PERDANA Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi minggu lalu mencadangkan mata pelajaran sejarah diwajibkan di sekolah rendah. Wartawan Berita Minggu, Rohaniza Idris menemubual pensyarah Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya (UM) yang terbabit dalam penulisan buku teks Sejarah Tingkatan Empat dan Lima, Profesor Madya Dr Shakila Yacob mengenai keperluan mata pelajaran itu.
Profesor Madya Dr Shakila Yacob
Komen Dr mengenai cadangan mata pelajaran sejarah bermula daripada usia muda?
Itu cadangan yang baik. Amerika Syarikat dan Britain misalnya sudah memperkenalkan subjek ini kepada kanak-kanak, bukan hanya terhad kepada sejarah untuk kanak-kanak tetapi pengajian sosial. Bagi memupuk minat, pendedahan harus bermula pada peringkat umur rendah.
Pada peringkat ini, mereka mudah menerima ilmu dan mudah untuk menanam nilai dan memupuk semangat cintakan negara. Pada masa inilah mereka akan membentuk nilai diri dan perspektif yang akan dibawa dalam kehidupan pada masa depan. Asas yang dibina dan dipupuk pada peringkat rendah ini dapat memberi kesedaran mengenai kepentingan sejarah dan relevan sejarah dalam kehidupan masa kini.
Ilmu sejarah boleh diaplikasi dalam pelbagai bidang pengajian. Saintis atau ahli geologi umpamanya perlu meneliti kejadian masa lalu supaya berupaya menganalisis atau memahami fenomena alam hari ini. Begitu juga mereka daripada bidang sains sosial perlu meniti sejarah bagi menganalisis dan memahami perkembangan kontemporari atau politik masa kini, ideologi atau identiti sesuatu masyarakat. Sejarah dapat membantu membina dan membangunkan common values dalam usaha melahirkan identiti bersama (shared identity) yang dapat mewujudkan satu bangsa Malaysia yang bersatu sebagaimana matlamat Wawasan 2020.

Benarkah tidak ada langsung ilmu sejarah yang diajar pada peringkat sekolah rendah dan cadangan menanganinya?
Dalam pendidikan sekolah rendah memang tidak ada mata pelajaran sejarah atau subjek yang menyentuh mengenainya. Sukatan pelajaran sejarah bermula pada tahap menengah rendah iaitu pada Tingkatan Satu hingga ke Tingkatan Lima dengan penumpuan adalah kepada Sejarah Malaysia.
Penumpuan pengajaran sejarah tidak harus kepada sejarah negara saja. Ia tidak bererti kita mengetepikan kepentingan sejarah negara. Mata pelajaran sejarah harus diperluaskan kepada sejarah dunia. Pada peringkat awal, pelajar boleh diajar menghargai tamadun yang dibina sejak awal kehidupan manusia.
Pelajar harus memahami kepelbagaian yang wujud di dunia dan menghormati kepelbagaian itu dan sejarah dapat mengajar kita memahami kekayaan budaya yang wujud di dunia. Dengan wujudnya fenomena globalisasi dan semakin sempitnya dunia, maka, keperluan untuk mempelajari dan memahami sejarah dunia ini amat penting dalam membina insan yang menyeluruh.
Saya cadangkan diambil satu pendekatan bersepadu dengan merombak atau menggantikan mata pelajaran sivik dan kajian tempatan dalam kurikulum sekolah rendah sekarang dan digantikan dengan pengajian sosial. Pengajian sosial adalah satu subjek yang mengkaji masyarakat, termasuk sejarah, sivik, geografi dan ekonomi.
Pendekatan bersepadu ini mengintegrasikan pengetahuan sejarah dengan geografi, ekonomi dan sebagainya bertujuan menyediakan pelajar memahami komuniti dan masyarakat mereka, negara dan dunia yang mereka tinggal supaya mampu menjadi warga negara dan warga dunia yang bertanggungjawab di mana mereka dapat sama-sama menyumbang kepada kesejahteraan negara dan dunia kerana kita kini tinggal dalam satu global village. Harus diingatkan bahawa komponen sejarah menjadi komponen utama di sini.
Pengajian sosial ini sudah lama diajar di Barat dan di kalangan kanak-kanak peringkat prasekolah dan tadika bertujuan melahirkan warga negara prihatin dalam segala segi, peka akan kepentingan masyarakat, politik dan mempamerkan sifat/sikap menghormati kepentingan awam.
Kementerian Pelajaran akan memperkenalkan mata pelajaran ini pada 2010 sesuai dengan Transformasi Kurikulum Sekolah Rendah dan akan dimasukkan dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) pada 2013. Apakah silibus sesuai dan usia pengenalan?
Sejarah sebenarnya mampu mengukuhkan proses pembelajaran asas pelajar. Sejarah membina kemahiran berfikir, menganalisis, mengkritik, menghujah, menyelidik, berkomunikasi dan sebagainya yang sememangnya tidak wujud dalam kurikulum pendidikan kita sehingga kita melahirkan pelajar robot yang hanya pandai menghafal fakta tetapi tidak boleh berkomunikasi dan berfikir dengan baik. Lebih teruk tiada keyakinan langsung untuk berhujah atau mempertahankan pegangan atau prinsip yang mereka perjuangkan.
Pada saya, usia terbaik diajar sejarah adalah pada usia lapan tahun tetapi pembelajaran perlu menarik dan menimbulkan minat mereka. Jika peringkat menengah baru hendak bermula, bermakna kita sudah terlewat. Pada saya, dalam usia remaja, sudah ada nilai yang terbentuk dan sebati dengan jiwa mereka, jadi sukar menanamkan minat terhadap sejarah.
Bagaimana mata pelajaran sejarah ini boleh membantu generasi muda memahami perjuangan dan pembangunan negara?
Sejarah menyediakan pelbagai pengajaran yang dapat dijadikan teladan dan panduan hidup. Ini membina ciri kemanusiaan yang lebih cemerlang, menanam perasaan simpati dan empati supaya perjuangan tokoh awal dihargai dan dikenang dan kekal dalam kesedaran pelajar supaya dapat merujuk kepada nilai perjuangan insan yang murni menjadi ikutan dan teladan. Tokoh sejarah boleh dijadikan role model yang boleh meningkatkan motivasi pelajar untuk berjaya.
Untuk mewujudkan pembuat polisi yang baik kita perlu melihat kepada pembentukan polisi yang awal, kebaikan dan kegagalannya, ini diperoleh daripada sejarah, belajar daripada kesilapan dan tidak mengulanginya.
Contoh terbaru, formula Malaysia atau orang kata formula Mahathir (bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad) dalam menangani kegawatan ekonomi nampaknya diterima Amerika Syarikat, pada waktu ini. Ia bermakna mereka belajar daripada sejarah yang dibentuk Malaysia.
Adakah kita sudah terlewat dan perlukah mata pelajaran ini diwajibkan?
Masih tidak terlambat. Di mana-mana di dunia mata pelajaran sejarah adalah subjek yang penting. Tidak kira sama ada kita sudah lebih 200 atau 300 tahun merdeka.
Perlu diwajibkan, kalau tidak ramai yang tidak akan mengambil mata pelajaran sejarah kerana menganggap ia tidak penting. Ada yang dipengaruhi oleh ibu bapa yang buta sejarah dan tidak nampak kepentingan sejarah kerana semata-mata mengejar mata pelajaran yang boleh menjanjikan pulangan yang besar pada masa depan. Mata pelajaran sejarah memainkan peranan penting dalam menyumbang kepada sistem pendidikan serta mampu melahirkan pelajar yang holistik.
Apakah ketiadaan pengajaran sejarah selama ini memberikan kesan kepada generasi muda sekarang yang 'buta' sejarah?
Ya, saya bersetuju, sifat buta sejarah ini wujud kerana pertama, pengenalan pelajar kepada sejarah pada masa kini bermula pada usia agak lewat menyebabkan ramai pelajar tidak memahami apatah lagi menghargai sumbangan sejarah dalam hidup mereka.
Sudah tentu, dengan ini mereka tidak memahami atau menghargai sumbangan atau persefahaman yang diwujudkan oleh pemimpin terdahulu. Bagaimana wujudnya Malaysia sebagaimana adanya hari ini adalah hasil usaha pemimpin awal negara? Mereka tidak tahu untuk memahami perkembangan masa kini atau untuk melihat ke depan mereka harus belajar daripada sejarah.
Kedua, pendekatan sejarah oleh guru juga salah satu faktor yang menyumbang kepada ketiadaan minat pelajar mendalami atau menghargai sejarah.
Apakah cadangan Dr supaya keadaan ini dapat diperbetulkan?
Pertama, adalah satu cadangan yang baik mata pelajaran sejarah diperkenalkan kepada peringkat rendah tetapi sebagaimana yang saya sebutkan sebelum ini, ia mengambil pendekatan bersepadu melalui subjek pengajian sosial.
Kedua, harus ada perubahan dalam pedagogi. Kaedah pengajaran yang lapuk dan tidak menarik menyebabkan pelajar bosan. Perspektif atau anggapan bahawa sejarah itu hanyalah satu subjek yang memerlukan seseorang itu menghafal fakta patut diubah. Pendekatan interaktif harus ditekankan.
Pelajar contohnya, ingin mengetahui dan mengalami dan menyelami peristiwa sejarah itu sendiri dan ia melahirkan emosi dan 'sense of attachment' kepada warisan dan legasi sejarah. Dengan itu, pendekatan pengajaran sejarah haruslah menarik, dengan melawat tempat bersejarah, penggunaan visual seperti gambar lama, kartun, simbol dan sebagainya amat penting dalam memupuk minat terhadap sejarah. Jika diperkenalkan pada tahap yang rendah, mata pelajaran sejarah ini harus menarik persembahannya.
Ketiga, pembinaan kurikulum yang menarik, efektif dan berkesan serta bersifat 'interdisciplinary' kepada pelajar sekolah rendah. Kurikulum yang terkini selari dengan tuntutan dan perkembangan semasa ini harus bersifat inklusif dan bukan eksklusif supaya sumbangan setiap individu, komuniti dan masyarakat pada peringkat negara dan dunia akan dihargai. Pembinaan kurikulum sejarah untuk sekolah rendah harus ada kerjasama pelbagai pihak seperti kementerian, pendidik di sekolah dan institusi pengajian tinggi serta pihak swasta.
Keempat, penggunaan teknologi baru seperti ICT. Ini menjadi amalan sejarawan Barat dan bagaimana mereka mengintegrasi sejarah dengan alatan media seperti komputer, internet, pemain cakera padat (CD-ROM), video, kamera digital dan papan kenyataan interaktif serta blog.
Artikel ini dipetik dari Berita Harian Online

Monday, October 20, 2008

Peperiksaan Akhir Tahun 2008 Aliran Teknik Bermula


Hari ini Peperiksaan Akhir Tahun 2008 untuk aliran teknik telah bermula dengan kertas Matematik Tambahan 1 dan 2. Pelajar-pelajar aliran vokasional akan mula menghadapi peperiksaan ini pada hari Khamis dengan kertas Bahasa Melayu. Kertas untuk mata pelajaran Sejarah akan diadakan pada minggu hadapan iaitu 29 Oktober 2008. Semoga semua sudah bersedia.