Dalam sukatan mata pelajaran Sejarah tingkatan 5 dan di dalam Bab 1, terdapat tajuk tentang Perkembangan Nasionalisme di Asia Tenggara dan antara tokoh yang dipelajari adalah Jose Rizal dari Filipina. Oleh kerana dalam buku teks terlalu ringkas cerita tentang tokoh ini, jadi apa kata kita baca tentang sejarah beliau dengan lebih lanjut lagi.
Keluarbiasaan Jose Rizal
Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN
Bagaimanakah lelaki ini membangkit semangat perjuangan menentang penjajahan di Asia?
Jose Rizal
KEMERDEKAAN merupakan nikmat asasi yang paling berharga bagi sesuatu bangsa. Nikmat kemerdekaan bererti membebaskan diri daripada belenggu penjajah, cengkaman ekonomi asing dan paling penting ialah menentukan hala tuju sesebuah negara menurut acuan dan perspektif bangsa itu sendiri.
Tentu sekali nikmat kemerdekaan ini dapat dicapai melalui proses perjuangan dan tribulasi yang panjang. Ia memerlukan pengorbanan yang besar daripada para pejuang dan rakyatnya.
Dalam hal ini, gerakan-gerakan kemerdekaan dipimpin oleh tokoh-tokoh besar dalam sesebuah negara yang menuntut pengorbanan nyawa, wang ringgit dan sebagainya.
Ada juga yang sempat melihat hasil perjuangan kemerdekaan, namun tidak kurang juga yang tidak sempat melihat dan merasa nikmat kemerdekaan itu. Kesemuanya ditinggalkan dan dinikmati oleh generasi seterusnya.
Dalam konteks gerakan kemerdekaan di Asia, ramai tokoh-tokoh besarnya telah memberi sumbangan yang tidak ternilai bagi pencapaian proses kemerdekaan sesebuah negara yang dipimpinnya.
Antaranya Mahatma Ghandi, Allahyarham Dato' Onn Jaafar, Allahyarham Tunku Abd. Rahman, Dr. Sun Yat Sen dan lain-lain lagi.
Di antara beberapa butir permata atau tokoh besar yang telah membuat sumbangan yang berharga untuk mengubah wajah Asia yang pernah suatu masa dahulu dijajah ialah Jose Rizal.
Beliau dianggap sebagai pembangkit semangat perjuangan menentang penjajahan asing demi membulatkan keyakinan atas hak kemerdekaan bagi setiap bangsa.
Menurut Fidel Ramos, bekas Presiden Republik Filipina dalam satu ucapannya menyifatkan Jose Rizal sebagai, "Wira sejagat yang hidup dan matinya berjuang untuk cita-cita luhur yang mengatasi batas etika, budaya dan sempadan agama dan beliau harus diingat sebagai seorang yang mempunyai wawasan yang jauh dan luar biasa di mana satu abad lalu telah membangkitkan semangat kebangkitan Asia".
Menurut Allahyarham Prof. Dr. Syed Hussein Al-Attas dalam kata pengantarnya kepada novel besar Rizal, Noli Me Tangere (Jangan Sentuh Aku), "Rizal adalah manusia baru Asia Tenggara yang berusaha dengan pelbagai pengorbanan untuk kemerdekaan dan membangunkan tanah airnya.
Jose Rizal - National Hero of the Philippines
Tujuan hidupnya telah dipusatkan kepada cita-cita yang murni ini. Segala tulisan-tulisan Rizal berkisar pada masalah kemerdekaan, penindasan dan pendidikan dalam erti yang luas."
Rizal memang seorang yang luar biasa dan menurut Allahyarham Prof. Dr. Syed Hussein Al-Attas lagi, "Rizal adalah pengamat sosiologi yang pertama di AsiaTenggar. Bakatnya sangat luas. Bukan hanya beliau itu doktor mata, tetapi juga penyair, ahli pahat, penulis novel, sejarawan, penganjur pendidikan bangsa sekali gus pemikir yang agung."
Austin Coates dalam bukunya, Rizal: Philippine Nationalist and Martyr menyatakan, Rizal mempunyai kecintaan yang amat besar pada ilmu pengetahuan.
Pada usia 16 tahun beliau telah memperoleh gelaran ijazah Sarjana Muda, bahkan dalam usia lima tahun telah pun memahami kitab Injil dan pada usia sembilan tahun telah mempelajari bahasa Latin.
Pada tahun 1882, Rizal belajar di Universiti Central de Madrid dan tiga tahun kemudiannya memperoleh gelaran doktor falsafah (Phd) dalam bidang falsafah dan sastera di samping digelar doktor dalam perubatan.
SEGALA tulisan Rizal dalam bukunya ini berkisar tentang kemerdekaan, penindasan dan pendidikan
Menurut Coates, Rizal mempunyai kesukaan mengembara ke luar negara dan berkenalan dengan sarjana-sarjana terkenal. Kesemuanya membentuk pemikirannya yang akhirnya mencurahkan bakti kepada negara tercinta.
Relevansi pemikiran Rizal dalam konteks Asia dapat dilihat dalam pelbagai sudut seperti hak asasi manusia, keagamaan, penindasan dan pendidikan.
Kesemuanya ini diungkapkan dalam buku Jose Rizal and the Asian Renaissance. Dari sudut keagamaan, beliau mengkritik golongan gereja yang berselindung di bawah nama agama menindas para pengikut agama Kristian dengan membina kekayaan dan kemewahan.
Kritikan Rizal sebenarnya menyingkap ketamakan golongan agama yang bekerjasama dengan kolonial Sepanyol menindas rakyat.
Rakyat Filipina yang kurang pendidikan dengan mudah tertipu dengan manipulasi golongan gereja. Hal-hal seumpama ini masih berlaku di Asia dan jika dikaitkan dengan persoalan keislaman, masih terdapat golongan ulama yang mengutamakan agama untuk kepentingan politik dan mentafsir sesuatu untuk mengabsahkan kebenaran tindakan pihak-pihak tertentu.
Rizal, just before his execution A photographic record of Rizal's execution in what was then Bagumbayan. Rizal's tomb in Paco Park (formerly Paco Cemetery). Rizal Park, Manila |
No comments:
Post a Comment