Monday, August 11, 2008

Sukan Olimpik Beijing 2008

同一个世界同一个梦想 (Satu Dunia, Satu Impian)Logo "Beijing Menari", dipaparkan menerusi cap mohor Cina yang menggunakan karakter "Jīng" (京, daripada nama tuan rumah) yang mengadaptasikan bentuk menari.

Sukan Olimpik 2008 atau secara rasminya dalam bahasa Inggeris: Games of the XXIX Olympiad (Sukan Olimpiad XXIX) sedang diadakan sejak 8 Ogos 2008 dan akan berakhir pada 24 Ogos 2008. Upacara perasmian telah bermula tepat pada jam 08:08:08 pm CST (12:08:08 UTC) di Stadium Nasional Beijing, Beijing, Republik Rakyat China. Ini merupakan kali pertama China menjadi tuan rumah Sukan Olimpik, serta kali ketiga bagi negara Asia, selepas Tokyo 1964 dan Seoul 1988.
Terdapat banyak acara sukan yang dipertandingkan di luar Beijing iaitu bola sepak (di Qinhuangdao, Shenyang, dan Tianjin), ekuestrian (di Hong Kong), dan kapal layar (di Qingdao). Ia merupakan Olimpik yang ketiga yang dianjurkan dua negara NOC berlainan (Hong Kong dan tanah besar China menganjurkan Olimpik bersama).
Beijing dipilih sebagai tuan rumah oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa pada 13 Julai 2001. Logo rasmi temasya sukan (dinamai "Beijing Menari") menyerupai perkataan 京 (pinyin: jīng, ibu kota), iaitu satu kependekan bagi bandar raya Beijing. Sukan Beijing 2008 mempunyai lima maskot, yang dipanggil "Fuwa", dan melambangkan kelima-lima warna logo Olimpik.
Temasya sukan ini melambangkan pertumbuhan ekonomi China masa kini yang pesat, serta kebangkitan semula China sebagai kuasa besar dunia. Namun, terdapat juga bantahan daripada warga dunia tentang isu pencemaran alam sekitar, rekod hak asasi manusia China yang buruk, serta isu perjuangan kemerdekaan Tibet, iaitu perkara yang boleh dikatakan melanggar prinsip-prinsip Sukan Olimpik.

Pingat Sukan Olimpik Beijing 2008. Perak (kiri), Emas (tengah), Gangsa (kanan)

Maskot Sukan Olimpik Beijing 2008


Fuwa (bahasa Cina: 福娃; pinyin: Fúwá; bermaksud "anak patung bertuah") diumumkan sebagai maskot Olimpik Beijing 2008. Fuwa telah dirasmikan pada 11 November 2005, tepat seribu hari sebelum upacara perasmian Olimpik Beijing 2008. Pada asalnya ia dinamakan sebagai "The Friendlies". Akan tetapi, ia telah merisaukan pegawai rasmi China yang bimbang akan disalahertikan sebagai "friendless" atau "friend lies".
Fuwa terdiri daripada lima jenis maskot iaitu ikan, panda gergasi, api, antelop Tibet, dan burung layang-layang . Maskot itu terdiri daripada lima elemen mengikut falsafah Cina iaitu air, logam, api, kayu, dan bumi. Setiap jenis Fuwa memiliki warna-warna yang terdapat dalam Gegelang Olimpik yang mempunyai lima gelang. Lima Fuwa itu dinamakan sebagai Beibei, Jingjing, Huanhuan, Yingying, dan Nini. Apabila setiap satu bagi lima nama jenis maskot bersama digabungkan, keputusannya menjadi satu perkataan iaitu 北京欢迎你(Běijīng huānyíng nĭ) yang bermaksud "Beijing menyambut anda".

No comments: