Friday, January 02, 2009

MAAL HIJRAH - SATU RENUNGAN DAN PENGHAYATAN

Hari ini telah masuk 5 Muharam 1430 Hijrah. Belum terlambat untuk kita renung kembali sejarah penghijrahan Rasulullah s.a.w ke Madinah yang telah mencetus satu perubahan besar dalam sejarah Umat Islam. Walaupun sebelum itu telah berlaku beberapa penghijrahan kecil seperti penghijrahan beberapa orang sahabat ke Habsyah dan Madinah namun ia hanya sekadar penghijrahan biasa sahaja. Walaupun dari sudut pandangan kasar kita, penghijrahan rasul ini dilihat seolah-olah seperti ‘undur ke belakang’ atau semata-mata melarikan diri dari kezaliman, cemuhan dan seksaan Musyrikin Mekah namun sebenarnya penghijrahan tersebut merupakan satu arahan dan perintah dari Allah s.w.t bagi meneruskan kewajipan sebagai seorang Rasulullah s.w.t untuk menegakkan Panji Islam dan melaksanakan suruhan Allah s.w.t di dalam mewujudkan satu komunit Islam yang hidup bermasyarakat dan bernegara.

Kita renungi semula SEJARAH PENGHIJRAHAN RASUL - HIJRATUL RASUL ini agar generasi sekarang tidak lupa kepada pengertian Hijrah yang sebenar serta sejarah yang berlaku di sebaliknya. Hijrah ini bermula apabila pemuka-pemuka Quraisy yang merasa tercabar dengan penyebaran Islam di Kota Mekah telah melakukan pelbagai bentuk seksaan dan kezaliman terhadap Muslimin pada waktu itu. Anak isteri dipisahkan, harta benda dirampas, nyawa diragut, dipukul dan diseksa dengan seksaan yang begitu dahsyat dan mengerikan, namun tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu tidak berjaya juga menghalang kebangkitan Islam yang semakin luas penyebarannya dari sehari ke sehari.

Maka para pemimpin Quraisy yang mewakili kabilah masing-masing telah mengadakan MESYUARAT TERGEMPAR atau persidangan pada 26 Safar tahun ke 14 kenabiaan di Darul Nadwah bagi membincangkan isu Islam, Umat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. Di dalam persidangan tersebut iblis turut menghadirinya dengan menyamar sebagai Syeikh An-Najd (Seorang tua dari Najd) yang turut memberi cadangan dan usul yang jahat. Persidangan tersebut akhirnya berakhir dengan menerima cadangan dari Abu Al-Aswad agar Rasulullah s.a.w dibuang negeri dan kemudian menerima pula cadangan dari Abu Al-Buktari yang mencadangkan agar Rasulullah s.a.w dipenjarakan.

Allah s.w.t telah mewahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan Jibril tentang pakatan jahat kaum Musyrikin tersebut dan memerintahkan agar Rasulullah s.a.w berhijrah ke Yathrib (Madinah). Rasulullah s.w.t telah memberitahu sahabat karibnya, Abu Bakar As-Siddiq r.a tentang makluman dan perintah dari Allah s.w.t tersebut dan membuat persiapan dan perancangan untuk berhijrah dari tanah kelahirannya itu.

Ringkasnya, Rasulullah s.a.w telah memerintahkan Saidina Ali bin Abi Talib r.a agar berbaring menggantikannya di tempat pembaringan dan menyampaikan beberapa pesanan dan amanah kepada Ali. Helah yang dilakukan oleh baginda ini telah berjaya memperdayakan pengintip-pengintip Quraisy yang telah mengintai tempat pembaringan Rasulullah s.a.w dan melihat sekujur tubuh sedang tidur yang disangkakan Rasulullah s.a.w itu. Rasulullah s.a.w telah berjaya melarikan diri dari kepungan Quraisy tersebut tanpa disedari oleh mereka walaupun seorang pun. Rasulullah s.a.w bersama Abu Bakar r.a telah bertolak ke arah selatan menuju ke ‘Gua Thur‘ dan bermalam di dalamnya selama 3 malam. Dalam tempoh tersebut, Asma dan Aisyah telah membawa bekalan makanan manakala Abdullah bin Abu Bakar pula menjadi perisik bagi mendengar sebarang berita atau perancangan dari pembesar Musyrikin, dan Amir bin Fuhaira’ pula mengembala kambing di sepanjang laluan yang telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar r.a bagi menghapuskan kesan-kesan perjalanan mereka berdua itu. Sewaktu Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar berada di Gua Thur ini telah berlaku beberapa mukjizat seperti sarang labah-labah dan sebagainya.

Pihak Quraisy yang kecewa akibat tidak berjaya menangkap mereka berdua telah mengumumkan ‘SPECIAL OFFER‘ berupa ganjaran 100 ekor unta kepada sesiapa yang berjaya memberkas 2 orang pelarian yang amat-amat dikehendaki itu. Tawaran ini telah berjaya menarik minat Suraqah bin Malik yang telah berjaya mengesan jejak mereka berdua dan mengejarnya dari belakang. Namun impiannya untuk mendapatkan 100 ekor unta tersebut berkecai akibat beliau dan kudanya tersungkur rebah ke tanah.
Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Bakar As-Siddiq r.a telah meneruskan perjalanan mereka berdua melalui beberapa perkampungan di antaranya ‘Tihama‘ dan melintasi padang pasir yang luas dalam keadaan panas terik yang membakar padang pasir sahara. Perjalanan yang penuh dengan kesusahan dan keperitan dengan melintasi padang pasir, batu-batu kapur, lembah-lembah curam, binatang berbisa, kedinginan malam hari dan 1001 macam bentuk kepayahan itu berjaya diharungi dengan hanya berbekalkan keimanan, ketabahan, kesabaran, kepatuhan yang tinggi kepada Allah s.w.t.

Akhirnya Rasulullah s.a.w bersama Abu Bakar r.a telah tiba di Quba’ pada hari Isnin 8 Rabiul Awwal tahun ke 14 Kenabiaan, sebahagian ulama mengatakan hari tersebut bertepatan dengan 12 Rabiul Awwal. Baginda telah menetap di situ selama 4 hari dan mendirikan Masjid Quba’.
Maka pada hari Jumaat, 16 Rabiul Awwal bergemalah laungan “Thola’al Badrul Alaina” yang merupakan laungan nasyid Selamat Datang oleh penduduk “Yathrib” yang diiringi laungan takbir memecah kesunyian bandar tersebut. Rasulullah s.a.w menunaikan solat Jumaat di ‘Yathrib’ dan menukarkan nama bandar ‘Yathrib’ itu kepada ‘Madinaturrasul‘ atau ‘Al-Madinah‘. Maka dengan itu tertegaklah sebuah negara Islam Madinah dengan rasminya dan di situlah juga merupakan titik permulaan bagi penyebaran Islam ke serata dunia.
Unta Rasulullah s.a.w terus bergerak menuju sehingga ke tempat jemuran kepunyaan 2 orang anak yatim iaitu Shal dan Suhail bin Amr, Rasulullah s.a.w kemudian membeli tempat itu untuk membangunkan masjid dan tempat kediamannya. Rasulullah s.a.w telah menumpang di rumah Abu Ayyub bin Khalid bin Zaid sementara menunggu tempat tinggalnya siap dibina.
Detik bersejarah tersebut telah disaksikan oleh seluruh penduduk Madinah termasuk golongan Yahudi yang telah melihat kedatangan seorang Rasul yang membawa amanah dari Allah s.w.t yang kemudiannya berjaya menyatukan puak Aus dan Khazraj serta mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar yang merupakan satu ikatan persaudaraan yang unggul dan gemilang dalam sejarah Umat Islam.
Oleh itu kita perlu jadikan Hijrah ini sebagai satu titik permulaan bagi MENGUKUHKAN KEIMANAN, MENINGKATKAN KETAKWAAN dan MENEGUHKAN SYARIAT ISLAMIAH agar kita menjadi individu Muslim yang aktif, positif, produktif dan inovatif agar bersesuaian dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Kamu merupakan sebaik-baik Ummah yang telah dikeluarkan untuk seluruh umat manusia…..“
Renungilah detik-detik bersejarah yang tersimpan di dalam Awal Muharram atau Maal Hijrah ini dan perlu diketengahkan dan diperbincangkan sekurang-kurangnya sekali setahun.

Artikel di atas di petik dari http://www.epustaka.com/blog/tazkirah/maal-hijrah-satu-renungan-dan-penghayatan.html

No comments: