Saturday, February 14, 2009

Larian STESMA 2009

Hari nie adalah hari persekolahan menggantikan cuti sempena Tahun Baru Cina yang lalu dan sekolah telah mengadakan Larian STESMA 2009. Bermula dengan sesi warming-up oleh para pelajar sebelum dilepaskan oleh Puan Siti Arfah, Pengetua Kanan SMTSM. Bermula dengan pelajar lelaki yang berlari sejauh 8 km dan kemudiannya pelajar perempuan sejauh 6 km.

Inilah hadiah piala pusingan untuk larian kali ini.

Di atas adalah antara hadiah untuk para pelajar. Oleh kerana hanya pelajar tingkatan 5 sahaja yang mengambil bahagian (kerana pelajar tingkatan 4 akan mendaftar pada 23 Februari) maka hadiah bagi tahun ini tidak sebanyak tahun lepas.

Pelajar sebaik sahaja dilepaskan.

Pelajar perempuan tiba di check point 2 di Kampung Permatang, dan diberi tali.

Guru-guru yang bertugas sebagai pencatat. Pengetua turut berada di situ memberi sokongan.

Pelajar rumah Kuning atau Tun Perak melaporkan diri untuk mengutip mata.
Keseluruhannya Larian STESMA kali ini dimenangi oleh rumah kuning atau Tun Perak bagi pelajar lelaki dan perempuan.

Sunday, February 08, 2009

Jose Rizal

Dalam sukatan mata pelajaran Sejarah tingkatan 5 dan di dalam Bab 1, terdapat tajuk tentang Perkembangan Nasionalisme di Asia Tenggara dan antara tokoh yang dipelajari adalah Jose Rizal dari Filipina. Oleh kerana dalam buku teks terlalu ringkas cerita tentang tokoh ini, jadi apa kata kita baca tentang sejarah beliau dengan lebih lanjut lagi.

Keluarbiasaan Jose Rizal
Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN

Bagaimanakah lelaki ini membangkit semangat perjuangan menentang penjajahan di Asia?

Jose Rizal
KEMERDEKAAN merupakan nikmat asasi yang paling berharga bagi sesuatu bangsa. Nikmat kemerdekaan bererti membebaskan diri daripada belenggu penjajah, cengkaman ekonomi asing dan paling penting ialah menentukan hala tuju sesebuah negara menurut acuan dan perspektif bangsa itu sendiri.

Tentu sekali nikmat kemerdekaan ini dapat dicapai melalui proses perjuangan dan tribulasi yang panjang. Ia memerlukan pengorbanan yang besar daripada para pejuang dan rakyatnya.

Dalam hal ini, gerakan-gerakan kemerdekaan dipimpin oleh tokoh-tokoh besar dalam sesebuah negara yang menuntut pengorbanan nyawa, wang ringgit dan sebagainya.

Ada juga yang sempat melihat hasil perjuangan kemerdekaan, namun tidak kurang juga yang tidak sempat melihat dan merasa nikmat kemerdekaan itu. Kesemuanya ditinggalkan dan dinikmati oleh generasi seterusnya.

Dalam konteks gerakan kemerdekaan di Asia, ramai tokoh-tokoh besarnya telah memberi sumbangan yang tidak ternilai bagi pencapaian proses kemerdekaan sesebuah negara yang dipimpinnya.

Antaranya Mahatma Ghandi, Allahyarham Dato' Onn Jaafar, Allahyarham Tunku Abd. Rahman, Dr. Sun Yat Sen dan lain-lain lagi.

Di antara beberapa butir permata atau tokoh besar yang telah membuat sumbangan yang berharga untuk mengubah wajah Asia yang pernah suatu masa dahulu dijajah ialah Jose Rizal.

Beliau dianggap sebagai pembangkit semangat perjuangan menentang penjajahan asing demi membulatkan keyakinan atas hak kemerdekaan bagi setiap bangsa.

Menurut Fidel Ramos, bekas Presiden Republik Filipina dalam satu ucapannya menyifatkan Jose Rizal sebagai, "Wira sejagat yang hidup dan matinya berjuang untuk cita-cita luhur yang mengatasi batas etika, budaya dan sempadan agama dan beliau harus diingat sebagai seorang yang mempunyai wawasan yang jauh dan luar biasa di mana satu abad lalu telah membangkitkan semangat kebangkitan Asia".

Menurut Allahyarham Prof. Dr. Syed Hussein Al-Attas dalam kata pengantarnya kepada novel besar Rizal, Noli Me Tangere (Jangan Sentuh Aku), "Rizal adalah manusia baru Asia Tenggara yang berusaha dengan pelbagai pengorbanan untuk kemerdekaan dan membangunkan tanah airnya.


Jose Rizal - National Hero of the Philippines

Tujuan hidupnya telah dipusatkan kepada cita-cita yang murni ini. Segala tulisan-tulisan Rizal berkisar pada masalah kemerdekaan, penindasan dan pendidikan dalam erti yang luas."

Rizal memang seorang yang luar biasa dan menurut Allahyarham Prof. Dr. Syed Hussein Al-Attas lagi, "Rizal adalah pengamat sosiologi yang pertama di AsiaTenggar. Bakatnya sangat luas. Bukan hanya beliau itu doktor mata, tetapi juga penyair, ahli pahat, penulis novel, sejarawan, penganjur pendidikan bangsa sekali gus pemikir yang agung."

Austin Coates dalam bukunya, Rizal: Philippine Nationalist and Martyr menyatakan, Rizal mempunyai kecintaan yang amat besar pada ilmu pengetahuan.

Pada usia 16 tahun beliau telah memperoleh gelaran ijazah Sarjana Muda, bahkan dalam usia lima tahun telah pun memahami kitab Injil dan pada usia sembilan tahun telah mempelajari bahasa Latin.

Pada tahun 1882, Rizal belajar di Universiti Central de Madrid dan tiga tahun kemudiannya memperoleh gelaran doktor falsafah (Phd) dalam bidang falsafah dan sastera di samping digelar doktor dalam perubatan.


SEGALA tulisan Rizal dalam bukunya ini berkisar tentang kemerdekaan, penindasan dan pendidikan
Menurut Coates, Rizal mempunyai kesukaan mengembara ke luar negara dan berkenalan dengan sarjana-sarjana terkenal. Kesemuanya membentuk pemikirannya yang akhirnya mencurahkan bakti kepada negara tercinta.

Relevansi pemikiran Rizal dalam konteks Asia dapat dilihat dalam pelbagai sudut seperti hak asasi manusia, keagamaan, penindasan dan pendidikan.

Kesemuanya ini diungkapkan dalam buku Jose Rizal and the Asian Renaissance. Dari sudut keagamaan, beliau mengkritik golongan gereja yang berselindung di bawah nama agama menindas para pengikut agama Kristian dengan membina kekayaan dan kemewahan.

Kritikan Rizal sebenarnya menyingkap ketamakan golongan agama yang bekerjasama dengan kolonial Sepanyol menindas rakyat.

Rakyat Filipina yang kurang pendidikan dengan mudah tertipu dengan manipulasi golongan gereja. Hal-hal seumpama ini masih berlaku di Asia dan jika dikaitkan dengan persoalan keislaman, masih terdapat golongan ulama yang mengutamakan agama untuk kepentingan politik dan mentafsir sesuatu untuk mengabsahkan kebenaran tindakan pihak-pihak tertentu.


Rizal, just before his execution


A photographic record of Rizal's execution in
what was then Bagumbayan.


Rizal's tomb in Paco Park (formerly Paco Cemetery).

Rizal Park, Manila


Monday, February 02, 2009

Sultan Perak

Esok 3 Februari 2009 merupakan cuti umum bagi negeri Perak bersempena dengan Sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda yang ke 25.
Sultan Azlan Shah, yang menaiki takhta pada 3 Feb 1984, merupakan Sultan Perak ke-34 dan antara empat Sultan yang bersemayam di takhta kerajaan mencecah 25 tahun. Mengikut sejarah Kesultanan Perak, Sultan Mansur Shah I, Sultan Perak kedua memerintah selama 28 tahun (1549-1577), Sultan Mahmud Iskandar Shah, Sultan Perak yang ke-11 memerintah selama 67 tahun (1653-1720) dan Sultan Idris Murshidul 'Adzam Shah I, Sultan Perak ke-29 memerintah selama 29 tahun (1887-1916).

BIOGRAFI
SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN YUSSUF IZZUDDIN SHAH GHAFARULLAHU-LAHD.K. , D.K.M. , D.M.N. , D.K. (KELANTAN), D.K. (TERENGGANU),D.K. (PERLIS), D.K. (JOHOR), D.K. (SELANGOR), D.K. (KEDAH),D.K.M.B. (BRUNEI), D.K. (NEGERI SEMBILAN), D.K. (PAHANG),S.S.M. , P.M.N. , P.S.M., D.K.S.A., S.P.C.M. , S.P.T.S. , S.P.M.P. , S.I.M.P.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Paduka Seri Sultan Azlan Shah telah diputerakan pada 19hb April 1928 di Batu Gajah, Perak. Pada tahun 1955, D.Y.M.M. Tuanku telah mendirikan mahligai rumahtangga bersama D.Y.M.M. Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan kemudiannya telah dikurniakan lima orang cahayamata.
D.Y.M.M. Tuanku telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kerajaan (Inggeris), Batu Gajah yang kini dikenali sebagai Sekolah Sultan Yussuf Batu Gajah. Tuanku kemudiannya melanjutkan pelajaran menengahnya di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Setelah itu, Tuanku telah menyambung pendidikannya di dalam bidang Undang-Undang di University of Nottingham, United Kingdom di mana Tuanku telah dikurniakan dengan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada tahun 1953. Pada 23hb November, 1954 D.Y.M.M. Tuanku telah diterima sebagai ahli di dalam The English Bar oleh The Honorable Society of Lincoln's Inn.
Sekembalinya dari United Kingdom, D.Y.M.M. Tuanku telah memulakan perkhidmatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Kemudiannya, Tuanku telah memasuki Perkhidmatan Undang-Undang Dan Kehakiman Persekutuan Tanah Melayu sebagai Majistret Kelas Pertama dan Presiden Mahkamah Sesyen. D.Y.M.M. Tuanku kemudiannya telah dilantik ke dalam jawatan-jawatan berikut: sebagai Peguam Persekutuan dan Timbalan Pendakwa, Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan Johor, Pendaftar Mahkamah Tinggi Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.
Pada tahun 1965, ketika hanya berusia tiga puluh tujuh tahun, D.Y.M.M. Tuanku telah dinaiktarafkan ke Kerusi Hakim Mahkamah Tinggi Malaya sebagai hakim termuda yang pernah dilantik di dalam sejarah kehakiman Komanwel. Pada tahun 1973, Tuanku telah dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan dan enam tahun kemudian, iaitu pada tahun 1979, Tuanku telah dilantik untuk memegang jawatan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, jawatan yang dipegang sehingga perlantikan Tuanku sebagai Ketua Hakim (dulu dikenali sebagai Lord President) Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 12hb November, 1982.
Tanggal 1 Julai, 1983, D.Y.M.M. Tuanku telah dimahkotakan sebagai Raja Muda Perak dan kemudiannya mewarisi takhta negeri Perak pada 3hb Februari, 1984 sebagai Sultan Perak yang ke-34. D.Y.M.M. Tuanku telah ditabalkan secara rasmi pada 9hb Disember, 1985.
Sumbangan dan kerja-kerja amal D.Y.M.M. Tuanku telah banyak memberi faedah khususnya kepada Institusi-Institusi Pengajian Tinggi. Di antara jawatan-jawatan yang pernah dijawat oleh Tuanku adalah sebagai Canselor Universiti Sains Malaysia (4hb Oktober, 1971 - Februari, 1984), Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi (1hb November, 1974 - 31hb Oktober, 1976) dan sebagai Canselor Universiti Malaya sejak 8hb Februari, 1986.
D.Y.M.M. Tuanku telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Kesusasteraan oleh Universiti Malaya pada 30hb Jun, 1979 dan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang oleh Universiti Sains Malaysia pada 28hb Jun, 1980. Kecemerlangan dan pencapaian Tuanku juga telah diiktiraf oleh pelbagai universiti luar negara, seperti University of Nottingham yang telah menganugerahkan Tuanku dengan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang pada 11hb Julai, 1986 diikuti oleh Lincoln's Inn, London yang menganugerahkan Tuanku dengan "Kerusi Kehormat" pada tahun 1988. Di samping itu, D.Y.M.M. Tuanku juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang oleh Universitas Gadja Mada, Jogjakarta, Indonesia pada 28hb September, 1990, oleh Universiti Brunei Darussalam pada 30hb Oktober, 1990 lantas diikuti oleh Universiti Chulalongkorn, Bangkok, Thailand pada 19hb Disember, 1990. Pada 2hb Oktober, 1991, D.Y.M.M. Tuanku telah dianugerahkan Keahlian Kehormat The Royal College of Physician of Ireland. Anugerah yang sama juga telah diberikan oleh Royal College of Surgeons of Ireland, The Royal College of Surgeons of Edinburgh dan The Royal College of Surgeons of England pada tahun 1999.
Berdasarkan pencapaian cemerlang di dalam perkhidmatannya, D.Y.M.M. Tuanku telah dianugerahkan pelbagai anugerah kehormat samada di peringkat Persekutuan mahupun dari luar negara. Di antaranya adalah D.K.;D.K.M.; D.M.N.; D.K.(Kelantan), D.K. (Terengganu); D.K. (Perlis); D.K. (Johor); D.K.(Selangor); D.K.(Kedah); D.K.M.B.(Brunei); D.K.(Negeri Sembilan); D.K.(Pahang); S.S.M.; P.M.N.; P.S.M.; S.P.C.M.; S.P.T.S.; S.P.M.P.; S.I.M.P.; The Most Auspicious of The Rajamitrabhorn (Thailand); Grand Order of Mugunghwa (Republik Korea); Collar of The Japanese Order of The Chrysanthemum dan Grand Cordon of The Supreme Order of the Chrysanthemum (Jepun); Civil Order; 1st Class (Oman) dan Orden Al-Merito De Chile (Republik Chile); Bintang ADI PURNA (Republik Indonesia); dan Hon. Knight Grand Cross (Civil Division) of The Order of The Bath (U.K.). D.Y.M.M. Tuanku juga telah dikurniakan The PAUL HARRIS FELLOWSHIP oleh Rotary International dan The Melvin Jones Fellow Award oleh Lions Clubs International.
Minat yang mendalam Tuanku di dalam bidang sukan khususnya bidang hoki telah bermula sejak zaman persekolahan lagi. D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah kini memegang jawatan sebagai Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (Malaysian Hockey Federation), Presiden Hoki Asia serta sebagai Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (International Hockey Federation). Selain hoki, Tuanku juga amat berminat di dalam permainan golf, dan kini kini merupakan Penaung DiRaja bagi Persatuan Undang-Undang Malaysia di Great Britain dan Eire, The British Graduates Association of Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia, The Rotary Clubs, The Lions Clubs, Kelab Ipoh DiRaja, Kelab Golf DiRaja Perak, Kelab Polo Iskandar, Kelab Golf Kuala Kangsar, Persatuan Alam Sekitar Malaysia serta Persatuan Hoki Veteran Perak.
Pada tahun 1992, di Ekspo Pelancongan Domestik Perak, satu jenis spesis bunga orkid telah dinamakan bersempena dengan nama Tuanku dengan rasminya - "Doritinopsis Sultan Azlan Shah" selepas menerima anugerah tanaman terbaik di dalam kategorinya.
Menghargai komitmen D.Y.M.M. Tuanku sebagai Penaung Persatuan Alam Sekitar Malaysia (The Malaysia Nature Society), satu jenis spesis baru serangga yang ditemui ketika Ekspedisi Saintifik Belum (1993-1994) telah juga dinamakan bersempena nama Tuanku - Azlania Costatipennis (Jacoby), Azlania apicalis Mohamedsaid dan Azlania borneensis Mohamedsaid
Pada 25hb April, 1989, D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah diisytiharkan dengan rasminya sebagai Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong Malaysia Yang Se-Sembilan.
Maklumat di atas diambil dari http://sultan.perak.gov.my/bahasa/azlan.htm