Peringatan oleh Majlis Raja-Raja Melayu wajar diberi perhatian oleh pihak-pihak yang cuba menangguk di air keruh mempersoalkan perkara-perkara yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan selama lebih setengah abad.
Politik mutakhir diperhatikan oleh rakyat dengan penuh minat dan bak kata pepatah Inggeris, jangan perhatikan yang tersurat tetapi apa yang tersirat.
Tuntutan demi tuntutan, cadangan demi cadangan telah dibuat oleh rakan kongsi Barisan Nasional (BN) kononnya bagi meraih sokongan rakyat kembali di beberapa buah negeri yang dimenangi pembangkang, sebenarnya hanya pihak yang 'terkena getah nangka' yang tahu puncanya. Yang makan nangka jangan pula 'lontar batu sembunyi tangan'.
Faktor kekalahan BN di beberapa buah negeri wajar dilihat secara mikro dan makro. Menuding ke arah seseorang yang menjadi punca sesuatu kekalahan memang tradisi zaman-berzaman. Seolah-olah sesuatu kepimpinan dilihat berfungsi sebagai bukan dalam satu pasukan. Mengapa kapten sahaja yang dikenakan kad merah sedangkan pasukan beliau telah menang dan bukannya kalah atau seri.
Dalam suasana harmoni dan detik kemajuan negara telah mencetuskan anak-anak Malaysia yang menganggap sejarah sebagai kenangan semata-mata dan mula mempersoalkan di mana mereka akan berakhir dan bukannya di mana mereka bermula.
Keamanan negara adalah hasil dari toleransi kaum yang tidak dapat ditemui di mana-mana negara di dunia ini. Dengan keamanan ini ekonomi menjadi makmur dan politik stabil. Para pelabur asing senang hati menabur modal di negara ini. Pekerja asing sanggup bergolok-gadai untuk mencari makan di negara kita, sedang anak tempatan terperangkap dengan kejumudan pemikiran.
Apabila cadangan memperkasakan subjek Sejarah bukan bermakna subjek itu perlu diwajibkan untuk lulus pada peringkat sekolah rendah atau menengah. Apa yang perlu ialah ia wajib diajar bukannya wajib lulus untuk peperiksaan besar.
Mungkin ada guru Sejarah yang akan naik marah kerana terpaksa menambah beban tugasan. Sejarah bukan berniat merendahkan sesuatu bangsa dan kaum, ia adalah untuk memastikan asas yang dibentuk oleh generasi terdahulu terpelihara dalam suasana harmoni dan bertamadun.
Isu-isu sensitif yang dimainkan pelbagai pihak perlu dihentikan segera. Isu yang diraih perlu berpaksikan sejarah negara. Pemimpin-pemimpin terdahulu ada yang telah pergi meninggalkan kita, namun zat-zat perjuangan mereka perlu difahami generasi hari ini.
Jangan kita memahami sejarah bangsa sendiri hanya untuk melepaskan tengkuk sendiri dan memporak-perandakan dan merendahkan martabat bangsa yang sedari dahulu menerima kedatangan pelancong, peniaga-peniaga dan pekerja-pekerja asing dengan tangan terbuka sehingga ke saat ini. Mengapa perlu diganggu gugat hubungan harmoni ini.
Sejarah Langkasuka, Gangga Negara, Melaka dan Temasik bukan sejarah palsu. Kedatangan Islam juga suatu fakta. Kahwin campur antara pedagang dan orang tempatan menghasilkan keturunan peranakan di Pulau Pinang, Melaka dan seantero Tanah Melayu.
Kedatangan pedagang untuk cari makan, kemudiannya mencari pasangan dan terus menetap di bumi bertuah ini. Hidup berkongsi rezeki adalah amalan orang Melayu yang juga digalakkan oleh agama Islam.
Cakap-cakap menjustifikasi orang Melayu adalah pendatang sama seperti bangsa lain menuntut Raja-Raja Melayu bersuara kerana hak yang dinikmati oleh rakyat sejak 31 Ogos 1957 untuk memimpin negara adalah hasil daripada rahmat dan perkenan baginda-baginda Sultan, Raja dan Yamtuan Besar. Jangan dilupakan fakta tersebut dan menganggap negara ini terjadi dengan sendiri tanpa sejarah tersendiri.
Sejarah memang adil bagi mereka yang menghargainya dan bukan sekadar mengenangnya untuk kepentingan politik sempit dan menjadi popular demi kepentingan ekonomi kendiri. Yang jelas kita jangan menempelak orang lain apabila diri sendiri tewas.
Belajarlah dari sejarah diri sendiri, jika kita tidak memberi hak kepada seseorang yang berhak maka masa akan mengajar kita hingga kita tidak mampu menerima hakikat pahit tersebut.
Sejarah mengajar kita untuk menjadi dewasa dan matang. Hakikat bagi memperkuatkan kembali BN khususnya dan kerajaan amnya memerlukan ekonomi diperkuat dan diperkasakan oleh legasi kepimpinan tertinggi.
Bagi BN, perlu diperingatkan bahawa konsep 'jika memberi biar semua merasa' memang baik namun jangan dilupakan hakikat siapa yang memberi kuasa dan siapa yang menaungi kita selama 51 tahun ini.
Meminta biar pada masanya, kena pada caranya, tertib pada majlisnya. Sejarah jangan dijadikan rujukan semata-mata untuk mempertahankan sesuatu dari terlepas ke tangan orang lain. Ia perlu difahami, dihargai, dicintai oleh generasi muda. Sejarah perlu menjadi sempadan kita dan bukannya beban.
Nota kaki: Artikel di atas dipetik dari akhbar Utusan Malaysia bertarikh 21 Oktober 2008, Selasa yang ditulis oleh Abdul Razak Idris dari Banting, Selangor. Pada pendapat saya dan mungkin guru-guru Sejarah yang lain, untuk memperkasakan mata pelajaran Sejarah adalah satu perkara yang telah lama ditunggu-tunggu. Ini kerana selama ini ramai yang beranggapan Sejarah satu mata pelajaran yang membebankan, membosankan dan tidak mempunyai nilai komersial seperti mata pelajaran sains dan matematik. Semoga selepas ini perhatian yang lebih akan diberikan untuk Sejarah dan bukan dipinggirkan.
No comments:
Post a Comment