Wednesday, September 24, 2008

Balik Kampung - Cara Pemanduan Yang Menjimatkan Petrol

Hujung minggu ini tentu ramai yang akan balik ke kampung ada yang balik ke Kuala Lumpur, Behrang, Sungai Petani, Kelantan, Terengganu, Perlis, Johor dan lain-lain destinasi. Walaupun harga minyak akan turun RM0.10 mulai esok, harga minyak masih lagi mahal terutama yang akan balik ke destinasi yang jauh jaraknya. Mana lagi nak bayar duit petrol, tol dan belum lagi jajan untuk bekalan sepanjang perjalanan. Ok mari kita lihat panduan untuk jimatkan petrol untuk pengetahuan kita, bukan sahaja di musim perayaan ini tapi juga sepanjang pemanduan kita. Semoga kita akan menjadi pemandu yang berhemah di jalan raya.

Memandu dengan tenang – Jangan gopoh dan membuat sesuatu secara mengejut.

Berat – Jangan bawa barang yang tidak perlu (kereta anda bukan stor). Penambahan berat sebanyak 50 kilogram meningkatkan penggunaan minyak sebanyak dua peratus). (Tapi balik kampung mesti bawa banyak barangkan. Hhhmmm... nak buat macam mana nie????)

Tayar – Tekanan angin mesti betul. Jika tidak, penggunaan minyak bertambah lima peratus.

Penyelenggaraan – Penalaan enjin yang teruk meningkatkan penggunaan minyak hingga lebih 50 peratus. Jangan malas pastikan palam pencucuh, tali kipas dan penapis udara diperiksa secara berkala.

Kelajuan – Lebih perlahan anda memandu, lebih jimat minyak digunakan (dan tidak disaman). Memandu melebihi 90 kilometer sejam (km/j) meningkatkan dengan ketara penggunaan minyak. Secara perbandingan, pada kelajuan 100 km/j, penggunaan minyak bertambah 10 peratus, 105 km/j (15 peratus) dan 110 km/j (25 peratus). Ingat jalan raya bukanlah tempat untuk berlumba.

Jika kereta tidak bergerak, matikan enjin jika sekadar menunggu seseorang.

Penggunaan gear – Pilih gear yang sesuai dengan kelajuan. Menggunakan gear rendah untuk kelajuan tinggi menyebabkan pembaziran minyak kerana enjin menjadi lebih pantas. Jangan malu-malu menggunakan mod ‘ekonomi’ jika kereta anda memilikinya.

Brek – Jika anda sudah tahu di mana hendak berhenti, perlahankan kenderaan secara beransur-ansur. Jangan brek mengejut.

Perancangan – Rancang perjalanan untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas. Ini menjimatkan masa, wang dan mengelakkan tekanan.

Minimum – Kurangkan perjalanan jarak dekat kerana ini meningkatkan penggunaan minyak sebanyak 40 peratus.

Kepada rakan-rakan membaca petua ini, cuba-cubalah mengamalkannya. Memang nanti akan ada orang kata ‘cakap bolehlah’. Bagaimanapun terpulanglah, tepuk dada tanya selera.
Jika anda hendak menjimatkan penggunaan minyak, cubalah dulu petua ini. Saya sendiri sedang cuba, memang susah, tetapi apabila pemanduan berhemah dijadikan tabiat, hasilnya berbaloi! Selamat balik ke kampung dan selamat kembali bertugas. SELAMAT HARI RAYA MAAF ZAHIR BATIN, BERHATI-HATI DI JALAN RAYA...

No comments: