Tuesday, September 16, 2008

Sejarah Penubuhan Malaysia


Hari ini 16 September, kita menyambut ulang tahun penubuhan Malaysia. Dalam bab 6 buku teks Sejarah Tingkatan 5 ada tajuk ini. Bermula dengan cadangan-cadangan awal tentang penubuhan, faktor-faktor pembentukan, reaksi, langkah-langkah dan membawa kepada perjanjian Malaysia. Semoga bila kita tahu tentang sejarah negara, maka akan bertambah cinta dan sayang terhadap Malaysia.


Tunku Abdul Rahman ingin memasukkan Brunei, Sabah, Sarawak dan Singapura dalam satu gabungan yang dikenali sebagai Malaysia. Ideanya menerima pelbagai reaksi dari dalam dan luar negeri. Tunku mengadakan siri lawatan untuk menerangkan konsep Malaysia ke Sabah dan Sarawak pada Jun 1961, Brunei pada Julai 1961 dan rundingan dengan Singapura pada Ogos 1961 diadakan. Walaupun pengumuman gagasan Malaysia dialu-alukan, terdapat beberapa pihak yang bimbang kemungkinan campurtangan British dari belakang. Oleh itu Tunku telah dijemput ke London untuk berunding dan pihak British bersetuju dengan pembentukan Malaysia.

Gambar anggota Suruhanjaya Cobbold yang ditubuhkan untuk meninjau pandangan penduduk Sarawak dan Sabah tentang gagasan Malaysia.
Satu Suruhanjaya yang dikenali sebagai Suruhanjaya Cobbold dibentuk pada 16 Januari 1962 dan terdiri dari 2 orang wakil British dan 2 orang pihak kerajaan. Suruhanjaya ini mengadakan lawatan dari Febuari hingga April 1962 dan mendapati lebih 80 peratus penduduk Sabah dan Sarawak bersetuju berada didalam gagasan Malaysia. Lebih dari 4000 orang yang mewakili kira-kira 690 buah pertubuhan ditemui. Namun Brunei enggan turut serta dalam gagasan ini setelah beberapa permintaannya tidak diterima.

Penubuhan Malaysia menerima tentangan keras dari Indonesia dibawah Presiden Sukarno yang melancarkan konfrantasi pada 20 Januari 1963 dengan slogan "Ganyang Malaysia". Konfrantasi ini berlanjutan hingga perjanjian damai dimeterai pada Ogos 1966. Perjanjian penubuhan Malaysia telah ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 dan diistiharkan secara rasmi pada 16 September 1963 oleh Tunku Abdul Rahman.

Pengistiharan Malaysia dilakukan di Stadium Merdeka dihadapan KDYMM Seri Paduka Yang DiPertuan Agong, Raja-raja Melayu, gabenor Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sabah dan Sarawak serta kira-kira 30,000 rakyat Malaysia.

2 comments:

Anonymous said...

cikgu, thanks for reminding us on the history of penubuhan malaysia. akhir2 ni, byk betul dugaan yg negara kita hadapi ya cikgu. harap2 semuanya ok!

Siti Mariam AK said...

semoga negara kita akan terus kekal aman damai selamanya walau apa pun dugaannya. sebagai rakyat malaysia kita pun boleh memainkan peranan. yang penting adalah perpaduan