Wednesday, October 15, 2008

Rentap (1800 - 1870) - Pahlawan Sarawak

Rentap - pahlawan Iban
Rentap menggelar James Brooke lanun yang mahu rampas tanah penduduk. Sebut nama Rentap, penduduk Sarawak masih mengingati semangat penentangannya terhadap kuasa penjajah Inggeris yang diketuai James Brooke, ketika melebarkan kuasanya ke Borneo, pada abad ke-19.

Penentangan terhadap kuasa penjajah menyebabkan James Brooke menggelar Rentap yang berpengaruh di kawasan yang kini di bawah pentadbiran Bahagian Betong, sebagai lanun. Pahlawan Rentap dari suku Iban sebenarnya seorang pejuang yang mempertahankan negeri dari penjajahan Inggeris, bukannya lanun seperti anggapan penjajah.

Pengkaji sejarah tempatan, Dr Chang Pat Foh, berkata Rentap atau nama sebenarnya Libau menjadi ketua pahlawan Iban di Skrang dan Saribas. Gelaran Rentap yang bermaksud Ensumbar dalam bahasa Iban atau membuat dunia bergegar diberikan kepada Libau selepas beliau memenggal kepala musuh dalam perang pertamanya. Rentap dikatakan membenci Brooke kerana melihatnya sebagai orang luar dari Barat yang berniat jahat ingin menguasai Sarawak dan menghapuskan cara hidup masyarakat tempatan waktu itu.

Disebabkan sikap Rentap itu, Brooke yang cuba mengambil alih pemerintahan negeri menggunakan helah dengan menggelarnya lanun dan penjajah merancang menghapuskan kegiatan lanun yang berleluasa di perairan sekitar Saribas dan Skrang.

Batang Lupar dan Saribas - Kawasan petempatan orang Iban

Chang dalam dialog Sejarah Wira Iban Sarawak- Panglima Rentap di Pustaka Negeri, di Kuching baru-baru ini, berkata kisah penentangan Rentap adalah berdasarkan keterangan keturunan generasi keenam pahlawan itu, Subang Anak Dunggau yang turut ditulis beliau dalam bukunya `History Of Iban Settlements Around Kuching City Sarawak'.

Rentap yang marah selepas mengetahui rancangan Inggeris itu kemudian turut menggelar James Brooke sebagai lanun yang cuba merampas tanah penduduk negeri ini dan mengenakan pelbagai bentuk cukai.

Pertempuran pertama Rentap dengan Inggeris berlaku di Skrang pada 19 Ogos 1844 membabitkan pertempuran menggunakan beribu-ribu perahu di kedua-dua pihak. Rentap berjaya menghalang Inggeris dan 29 pengikut Inggeris mati dalam pertempuran itu manakala 56 lagi cedera. Pada 24 Julai 1849, Brooke kembali membawa angkatan lebih besar untuk menyerang Skrang dan Saribas yang disifatkan mereka angkatan mengalahkan lanun di sana.

Kali ini tiga kapal digunakan iaitu Royalist dan iringi kapal Nemesis dan Ranee serta 80 kapal perang lain untuk menumpaskan pasukan Rentap bersama pengikutnya Abang Apong dan Linggir Mali Lebu. Penjajah yang turut dibantu kaum Iban bertempur dengan pasukan Rentap di Beting Maru, Bahagian Betong pada petang 31 Julai 1849 yang juga pertempuran angkatan laut terbesar pernah dicatatkan di negeri ini.

Rombongan pengikut Rentap yang dalam perjalanan pulang pada petang itu diserang angkatan laut Inggeris menyebabkan 500 pengikut Rentap terbunuh dalam pertempuran lima jam. Tiada ketua Iban dari pasukan Rentap terbunuh dan ramai melarikan diri ke dalam hutan serta memaksa mereka berundur jauh ke bahagian hulu Sungai Saribas atau Sungai Skrang.

Kubu Rentap di Tabbat

Rentap dan pengikutnya kemudian membina kubu di Tabat, di kaki Gunung Sadok menghadap Sungai Lang dan Brooke pula pada akhir 1849 atau awal 1850 menghantar Arthur Crookshank membina Fort James di Lingga yang menjadi persimpangan Sungai Skrang dan Sungai Lupar.

Pembinaan kubu Inggeris tidak disenangi penduduk Skrang kerana menghalang laluan mereka ke bahagian bawah Sungai Lupar dan ke Laut China Selatan yang selain itu bertujuan menghalang kerjasama Rentap dengan sekutu rapatnya Linggir dan Aji di persisir pantai. Pada 1852, Brooke membina satu lagi kubu di Lingga untuk menghalang Rentap dari mengganggu pengikutnya sekitar bahagian hilir Sungai Lupar yang menaikkan kemarahan pahlawan itu sehingga memutuskan menyerang dan menewaskan Inggeris di Lingga.

Brooke kemudian menghantar pesanan kepada Rentap di ulu Sungai Skrang , mengajaknya keluar dan berjumpanya di Fort James untuk mengadakan rundingan damai, namun Rentap enggan.

Setahun kemudian, pengikut Brooke diserang hendap di Lintang Batang, tiga kilometer dari Nanga Skrang dan pengikut Rentap berjaya menenggelamkan bot penjajah dan membunuh seorang pegawai Inggeris, Alan Lee yang bertanggungjawab mengukuhkan pasukan penjajah di Lingga.

Pasukan Rentap kemudian berundur sebelum pasukan Brooke menyusun kedudukan bagi melancarkan serangan balas dan kejayaan ini menjadikannya lebih dikenali sebagai wira kaum Dayak di Sarawak.Bagi menghalang orang lain membantu Rentap dan menjadikannya lebih kuat, sekumpulan askar dihantar Brooke ke merata tempat untuk menahan mereka disyaki membantu pahlawan Iban itu.

Pada Ogos 1845, tentera Brooke berjumlah 7,000 mara selama dua hari untuk menyerang kubu Rentap di Sungai Lang, Skrang dengan menggunakan senjata api manakala pasukan Rentap menyerang balas menggunakan meriam. Pada sebelah petang, wanita dan kanak-kanak kelihatan meninggalkan kubu Rentap melalui belakang bukit diikuti pahlawan Iban yang lengkap berpakaian perang mengundurkan diri dari kota itu menuju Bukit Sadok dengan membawa Rentap yang tercedera.

Brooke bagaimanapun tidak meneruskan serangan ke Bukit Sadok, ini membolehkan Rentap menguatkan kedudukannya di puncak Gunung Sadok dengan membina kubu atau Kuta Rentap dan kecerunan curam menjadikan kubu itu hampir mustahil dihampiri musuh. Beliau kemudian menggelar dirinya seorang pemerintah dengan gelaran Rajah Ulu atau Raja Ul dan menjadikan Bukit Sadok pusat kepada semua penduduk tempatan yang menentang pemerintahan Inggeris.

Berikutan kedudukan Rentap bertambah kuat, Brooke melancarkan ekspedisi bagi memusnahkan kekuasaannya. Tiga ekspedisi bermula 7 Jun 1857 dilancarkan bagi memusnahkan kubu Rentap, namun gagal membunuhnya. Selepas melancarkan serangan bertali arus pada ekspedisi terakhir Brooke berjaya menawan dan membakar Kuta Rentap pada 28 Oktober 1861, Rentap dan pengikutnya berundur ke Bukit Lanjak, Skrang sehingga Entabai, Kanowit dan Jula. Rentap yang enggan menyerah kalah, meninggal dunia akibat tua di Bukit Sibau, sekitar 1870.

Kronologi:

Pada 7 Jun 1857, Ekspedisi Sadok Pertama dilancarkan penjajah bertujuan memusnahkan semua kawasan pertanian sekitar Bukit Sadok untuk memutuskan bekalan makanan pengikut Rentap.

Pasukan Brooke berjaya mendaki hingga puncak Gunung Sadok yang sama tinggi dengan kubu Rentap di puncak Bukit Sadok untuk melihat dan melancarkan serangan ke kedudukan musuh. Dengan kekuatan 4,000 askar, Brooke tidak dapat menawan Kuta Rentap kerana dibina menggunakan kayu Tebelian keras yang tidak dapat ditembusi peluru, serta Rentap juga mempunyai senapang, meriam dan pistol kuno yang dirampas ketika menyerang Allan Lee, di Lintang Batang pada 1853.

Pasukan Brooke ditimpa hujan lebat selama lapan hari di puncak Gunung Sadok dan akhirnya memutuskan berundur dalam ekspedisi yang gagal sepenuhnya.

Pada Ogos 1858, Brooke melancarkan Ekspedisi Sadok Kedua untuk menghapuskan kuasa Rentap dengan membawa senjata " Six-Pounder gun" yang mampu menembak lima puluh peluru ke Kuta Rentap. Ekspedisi kali ini turut gagal kerana senjata itu tidak mampu menembusi dinding Kuta Rentap dan Brooke terpaksa segera berundur selepas dibalas dengan serangan betubi-tubi menggunakan sumpit beracun, lontaran batu dan tembakan senjata api.

Pada September 1861, Brooke melancarkan Ekspedisi Ketiga Sadok yang lebih besar dengan buruh untuk membuat jalan di hutan, sepasukan askar Negro yang terlatih dalam pertempuran jarak dekat serta senjata penembak roket, Six-Pounder Gun dan meriam yang digelar " Bujang Sadok". Selepas sampai di puncak Gunung Sadok, keesokan paginya, serangan dilancarkan ke Kuta Rentap dan berlaku berbalas serangan menggunakan meriam antara Bujang Sadok dengan Bujang Timpang Berang yang dimiliki Rentap.

Malangnya, salah seorang pengendali meriam Rentap terkena tembakan dari Bujang Sadok dan darahnya membasahkan serbuk letupan menyebabkan Bujang Timpang Berang tidak berfungsi dan kelebihan Bujang Sadok digunakan untuk memusnahkan dinding keras Kuta Rentap.

Nota kaki : Tajuk tentang Rentap ada dalam Bab 2 - Nasionalisme Di Malaysia Sehingga Perang Dunia Kedua, buku teks Sejarah Tingkatan 5 di bawah tajuk Peristiwa Penentangan Pemimpin tempatan. Jika dilihat kertas Percubaan SPM negeri Perak soalan tentang nasionalisme pemimpin tempatan merupakan soalan no 3 iaitu soalan struktur.

3 comments:

Anonymous said...

rentap menggelar james brooke sebgai lanun atau james brooke mengglr rentap sbgai lanun?

Unknown said...

James Brooke mengelar Rentap sebagai lanun.

Anonymous said...

Kubu pertama/James itu telah dibina di Nanga Skrang pada 1850, bukan di Lingga. Kubu kedua barulah Di Lingga.