Thursday, March 05, 2009

Raptai KOT Ke-11 2009

Semalam dan hari ini diadakan raptai untuk Kejohanan Olahraga Tahunan sekolah Kali Ke -11. Sambil diadakan raptai, persiapan terakhir untuk majlis ini rancak dijalankan. Khemah-khemah mula dipasang begitu jugak dengan hiasan di pavilion.

Juruacara memainkan peranan penting dalam sesuatu acara, untuk KOT kali ini, pengacara yang tak asing lagi iaitu Cikgu Sabri dan Cikgu Fatihah.

Raptai untuk pemain kompang jugak diadakan sempena menyambut kehadiran tetamu kehormat yang akan merasmikan acara KOT tahun ini.

Lintas hormat ahli-ahli rumah sukan diadakan. Nampak gayanya kena berlatih lagi....
Sukan sekolah akan berlangsung pada 7 Mac 2009 sebelah pagi di Padang Sekolah. Jika ada kesempatan datang la untuk memeriahkan sukan kali ini

Monday, March 02, 2009

Masjidil Haram Tempat Ibadah Paling Moden





Masjidil Haram sedang dalam projek pembinaan mega yang hebat!!..
Pernahkah anda melihat tempat ibadah paling moden di dunia?
Inilah satu-satunya masjid yang paling moden di dunia! Masjidil Haram di Mekah!

Yang lebih dibanggakan lagi, salah seorang arkitek Muslim yang terlibat dalam projek mega ini adalah dari Malaysia!

Mereka masing-masing berasal dari Turki, Arab Saudi, Algeria, Malaysia dan dua dari Lubnan.

Malaysia diwakili Profesor Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ismawi Zen.

Berikut merupakan sejarah pembinaan Masjidil Haram:


Sejarah pembesaran Masjidil Haram pada era moden:

  • Fasa pertama dilakukan pada 1955 atas arahan Raja Abdul Aziz, pengasas Arab Saudi.
  • Pada 1988 pula, Raja Fahd Abdulaziz Al Saud mengarahkan pembesaran kawasan solat dari 152,000 kepada 356,000 meter persegi.
  • Projek pembesaran kali ketiga ini dilakukan di bawah kepimpinan Raja Abdullah Abdul Aziz di bawah tanggungan penuh Kerajaan Arab Saudi.

Empat garis panduan (larangan) kerajaan Arab Saudi dalam merancang pembangunan di Masjidil Haram iaitu:
1) Larangan mengubah suai Kaabah.
2) Lokasi Saie iaitu antara Bukit Safa dan Marwah.
3) Kedudukan telaga Zam Zam.
4) Sempadan tanah haram.

Empat pertimbangan yang diambil kira:

1) Konsep mampan.
2) Pembangunan kerohanian
3) Sejarah
4) Kapasiti.



Selain itu, pembangunan semula Makkah ini juga bakal menghidupkan kembali fungsi masjid pada zaman Rasulullah sebagai tempat perkembangan ilmu, yang mana kerajaan Arab Saudi mahu menubuhkan sebuah institusi pengajian di dalam masjid itu.

Ada masa dan kawasan tertentu kota Makkah tidak sesak ketika musim haji dan umrah, menyebabkan kerajaan bercadang membina sebuah universiti di satu bahagian di dalam masjid berkenaan bagi mengimarahkan kawasan ibadat itu agar tidak kelihatan kosong dan sepi.

Universiti ini menawarkan kursus dalam bidang sains dan teknologi membuka peluang kepada umat Islam belajar mengenai ilmu berkenaan juga membuktikan kepada orang luar bahawa masjid tidak hanya sebagai tempat ibadat malah lebih daripada itu.



Di samping itu, pembinaan terowong pejalan kaki dan stesen perkhidmatan awam seumpama sistem transit aliran ringan (LRT) seperti di Malaysia, turut diwujudkan bagi keselesaan jemaah bergerak sepanjang berada di kota suci itu.

Pada masa ini, kenderaan persendirian dibenarkan masuk ke kawasan masjid namun selepas LRT siap, semua kenderaan perlu diletakkan di Masjid Tana’im yang mana jemaah akan menaiki LRT itu untuk ke masjid terbabit.

(Sumber: Berita Harian)

Saturday, February 14, 2009

Larian STESMA 2009

Hari nie adalah hari persekolahan menggantikan cuti sempena Tahun Baru Cina yang lalu dan sekolah telah mengadakan Larian STESMA 2009. Bermula dengan sesi warming-up oleh para pelajar sebelum dilepaskan oleh Puan Siti Arfah, Pengetua Kanan SMTSM. Bermula dengan pelajar lelaki yang berlari sejauh 8 km dan kemudiannya pelajar perempuan sejauh 6 km.

Inilah hadiah piala pusingan untuk larian kali ini.

Di atas adalah antara hadiah untuk para pelajar. Oleh kerana hanya pelajar tingkatan 5 sahaja yang mengambil bahagian (kerana pelajar tingkatan 4 akan mendaftar pada 23 Februari) maka hadiah bagi tahun ini tidak sebanyak tahun lepas.

Pelajar sebaik sahaja dilepaskan.

Pelajar perempuan tiba di check point 2 di Kampung Permatang, dan diberi tali.

Guru-guru yang bertugas sebagai pencatat. Pengetua turut berada di situ memberi sokongan.

Pelajar rumah Kuning atau Tun Perak melaporkan diri untuk mengutip mata.
Keseluruhannya Larian STESMA kali ini dimenangi oleh rumah kuning atau Tun Perak bagi pelajar lelaki dan perempuan.

Sunday, February 08, 2009

Jose Rizal

Dalam sukatan mata pelajaran Sejarah tingkatan 5 dan di dalam Bab 1, terdapat tajuk tentang Perkembangan Nasionalisme di Asia Tenggara dan antara tokoh yang dipelajari adalah Jose Rizal dari Filipina. Oleh kerana dalam buku teks terlalu ringkas cerita tentang tokoh ini, jadi apa kata kita baca tentang sejarah beliau dengan lebih lanjut lagi.

Keluarbiasaan Jose Rizal
Oleh SHAHAROM TM SULAIMAN

Bagaimanakah lelaki ini membangkit semangat perjuangan menentang penjajahan di Asia?

Jose Rizal
KEMERDEKAAN merupakan nikmat asasi yang paling berharga bagi sesuatu bangsa. Nikmat kemerdekaan bererti membebaskan diri daripada belenggu penjajah, cengkaman ekonomi asing dan paling penting ialah menentukan hala tuju sesebuah negara menurut acuan dan perspektif bangsa itu sendiri.

Tentu sekali nikmat kemerdekaan ini dapat dicapai melalui proses perjuangan dan tribulasi yang panjang. Ia memerlukan pengorbanan yang besar daripada para pejuang dan rakyatnya.

Dalam hal ini, gerakan-gerakan kemerdekaan dipimpin oleh tokoh-tokoh besar dalam sesebuah negara yang menuntut pengorbanan nyawa, wang ringgit dan sebagainya.

Ada juga yang sempat melihat hasil perjuangan kemerdekaan, namun tidak kurang juga yang tidak sempat melihat dan merasa nikmat kemerdekaan itu. Kesemuanya ditinggalkan dan dinikmati oleh generasi seterusnya.

Dalam konteks gerakan kemerdekaan di Asia, ramai tokoh-tokoh besarnya telah memberi sumbangan yang tidak ternilai bagi pencapaian proses kemerdekaan sesebuah negara yang dipimpinnya.

Antaranya Mahatma Ghandi, Allahyarham Dato' Onn Jaafar, Allahyarham Tunku Abd. Rahman, Dr. Sun Yat Sen dan lain-lain lagi.

Di antara beberapa butir permata atau tokoh besar yang telah membuat sumbangan yang berharga untuk mengubah wajah Asia yang pernah suatu masa dahulu dijajah ialah Jose Rizal.

Beliau dianggap sebagai pembangkit semangat perjuangan menentang penjajahan asing demi membulatkan keyakinan atas hak kemerdekaan bagi setiap bangsa.

Menurut Fidel Ramos, bekas Presiden Republik Filipina dalam satu ucapannya menyifatkan Jose Rizal sebagai, "Wira sejagat yang hidup dan matinya berjuang untuk cita-cita luhur yang mengatasi batas etika, budaya dan sempadan agama dan beliau harus diingat sebagai seorang yang mempunyai wawasan yang jauh dan luar biasa di mana satu abad lalu telah membangkitkan semangat kebangkitan Asia".

Menurut Allahyarham Prof. Dr. Syed Hussein Al-Attas dalam kata pengantarnya kepada novel besar Rizal, Noli Me Tangere (Jangan Sentuh Aku), "Rizal adalah manusia baru Asia Tenggara yang berusaha dengan pelbagai pengorbanan untuk kemerdekaan dan membangunkan tanah airnya.


Jose Rizal - National Hero of the Philippines

Tujuan hidupnya telah dipusatkan kepada cita-cita yang murni ini. Segala tulisan-tulisan Rizal berkisar pada masalah kemerdekaan, penindasan dan pendidikan dalam erti yang luas."

Rizal memang seorang yang luar biasa dan menurut Allahyarham Prof. Dr. Syed Hussein Al-Attas lagi, "Rizal adalah pengamat sosiologi yang pertama di AsiaTenggar. Bakatnya sangat luas. Bukan hanya beliau itu doktor mata, tetapi juga penyair, ahli pahat, penulis novel, sejarawan, penganjur pendidikan bangsa sekali gus pemikir yang agung."

Austin Coates dalam bukunya, Rizal: Philippine Nationalist and Martyr menyatakan, Rizal mempunyai kecintaan yang amat besar pada ilmu pengetahuan.

Pada usia 16 tahun beliau telah memperoleh gelaran ijazah Sarjana Muda, bahkan dalam usia lima tahun telah pun memahami kitab Injil dan pada usia sembilan tahun telah mempelajari bahasa Latin.

Pada tahun 1882, Rizal belajar di Universiti Central de Madrid dan tiga tahun kemudiannya memperoleh gelaran doktor falsafah (Phd) dalam bidang falsafah dan sastera di samping digelar doktor dalam perubatan.


SEGALA tulisan Rizal dalam bukunya ini berkisar tentang kemerdekaan, penindasan dan pendidikan
Menurut Coates, Rizal mempunyai kesukaan mengembara ke luar negara dan berkenalan dengan sarjana-sarjana terkenal. Kesemuanya membentuk pemikirannya yang akhirnya mencurahkan bakti kepada negara tercinta.

Relevansi pemikiran Rizal dalam konteks Asia dapat dilihat dalam pelbagai sudut seperti hak asasi manusia, keagamaan, penindasan dan pendidikan.

Kesemuanya ini diungkapkan dalam buku Jose Rizal and the Asian Renaissance. Dari sudut keagamaan, beliau mengkritik golongan gereja yang berselindung di bawah nama agama menindas para pengikut agama Kristian dengan membina kekayaan dan kemewahan.

Kritikan Rizal sebenarnya menyingkap ketamakan golongan agama yang bekerjasama dengan kolonial Sepanyol menindas rakyat.

Rakyat Filipina yang kurang pendidikan dengan mudah tertipu dengan manipulasi golongan gereja. Hal-hal seumpama ini masih berlaku di Asia dan jika dikaitkan dengan persoalan keislaman, masih terdapat golongan ulama yang mengutamakan agama untuk kepentingan politik dan mentafsir sesuatu untuk mengabsahkan kebenaran tindakan pihak-pihak tertentu.


Rizal, just before his execution


A photographic record of Rizal's execution in
what was then Bagumbayan.


Rizal's tomb in Paco Park (formerly Paco Cemetery).

Rizal Park, Manila


Monday, February 02, 2009

Sultan Perak

Esok 3 Februari 2009 merupakan cuti umum bagi negeri Perak bersempena dengan Sambutan Jubli Perak pemerintahan baginda yang ke 25.
Sultan Azlan Shah, yang menaiki takhta pada 3 Feb 1984, merupakan Sultan Perak ke-34 dan antara empat Sultan yang bersemayam di takhta kerajaan mencecah 25 tahun. Mengikut sejarah Kesultanan Perak, Sultan Mansur Shah I, Sultan Perak kedua memerintah selama 28 tahun (1549-1577), Sultan Mahmud Iskandar Shah, Sultan Perak yang ke-11 memerintah selama 67 tahun (1653-1720) dan Sultan Idris Murshidul 'Adzam Shah I, Sultan Perak ke-29 memerintah selama 29 tahun (1887-1916).

BIOGRAFI
SULTAN AZLAN MUHIBBUDDIN SHAH IBNI ALMARHUM SULTAN YUSSUF IZZUDDIN SHAH GHAFARULLAHU-LAHD.K. , D.K.M. , D.M.N. , D.K. (KELANTAN), D.K. (TERENGGANU),D.K. (PERLIS), D.K. (JOHOR), D.K. (SELANGOR), D.K. (KEDAH),D.K.M.B. (BRUNEI), D.K. (NEGERI SEMBILAN), D.K. (PAHANG),S.S.M. , P.M.N. , P.S.M., D.K.S.A., S.P.C.M. , S.P.T.S. , S.P.M.P. , S.I.M.P.
Duli Yang Maha Mulia Sultan Paduka Seri Sultan Azlan Shah telah diputerakan pada 19hb April 1928 di Batu Gajah, Perak. Pada tahun 1955, D.Y.M.M. Tuanku telah mendirikan mahligai rumahtangga bersama D.Y.M.M. Raja Permaisuri Perak, Tuanku Bainun dan kemudiannya telah dikurniakan lima orang cahayamata.
D.Y.M.M. Tuanku telah mendapat pendidikan awal di Sekolah Kerajaan (Inggeris), Batu Gajah yang kini dikenali sebagai Sekolah Sultan Yussuf Batu Gajah. Tuanku kemudiannya melanjutkan pelajaran menengahnya di Kolej Melayu Kuala Kangsar. Setelah itu, Tuanku telah menyambung pendidikannya di dalam bidang Undang-Undang di University of Nottingham, United Kingdom di mana Tuanku telah dikurniakan dengan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang pada tahun 1953. Pada 23hb November, 1954 D.Y.M.M. Tuanku telah diterima sebagai ahli di dalam The English Bar oleh The Honorable Society of Lincoln's Inn.
Sekembalinya dari United Kingdom, D.Y.M.M. Tuanku telah memulakan perkhidmatan sebagai Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak. Kemudiannya, Tuanku telah memasuki Perkhidmatan Undang-Undang Dan Kehakiman Persekutuan Tanah Melayu sebagai Majistret Kelas Pertama dan Presiden Mahkamah Sesyen. D.Y.M.M. Tuanku kemudiannya telah dilantik ke dalam jawatan-jawatan berikut: sebagai Peguam Persekutuan dan Timbalan Pendakwa, Penasihat Undang-Undang Negeri Pahang dan Johor, Pendaftar Mahkamah Tinggi Persekutuan Tanah Melayu dan akhirnya sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.
Pada tahun 1965, ketika hanya berusia tiga puluh tujuh tahun, D.Y.M.M. Tuanku telah dinaiktarafkan ke Kerusi Hakim Mahkamah Tinggi Malaya sebagai hakim termuda yang pernah dilantik di dalam sejarah kehakiman Komanwel. Pada tahun 1973, Tuanku telah dilantik menjadi Hakim Mahkamah Persekutuan dan enam tahun kemudian, iaitu pada tahun 1979, Tuanku telah dilantik untuk memegang jawatan Ketua Hakim Mahkamah Tinggi Malaya, jawatan yang dipegang sehingga perlantikan Tuanku sebagai Ketua Hakim (dulu dikenali sebagai Lord President) Mahkamah Persekutuan Malaysia pada 12hb November, 1982.
Tanggal 1 Julai, 1983, D.Y.M.M. Tuanku telah dimahkotakan sebagai Raja Muda Perak dan kemudiannya mewarisi takhta negeri Perak pada 3hb Februari, 1984 sebagai Sultan Perak yang ke-34. D.Y.M.M. Tuanku telah ditabalkan secara rasmi pada 9hb Disember, 1985.
Sumbangan dan kerja-kerja amal D.Y.M.M. Tuanku telah banyak memberi faedah khususnya kepada Institusi-Institusi Pengajian Tinggi. Di antara jawatan-jawatan yang pernah dijawat oleh Tuanku adalah sebagai Canselor Universiti Sains Malaysia (4hb Oktober, 1971 - Februari, 1984), Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Tinggi (1hb November, 1974 - 31hb Oktober, 1976) dan sebagai Canselor Universiti Malaya sejak 8hb Februari, 1986.
D.Y.M.M. Tuanku telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Kesusasteraan oleh Universiti Malaya pada 30hb Jun, 1979 dan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang oleh Universiti Sains Malaysia pada 28hb Jun, 1980. Kecemerlangan dan pencapaian Tuanku juga telah diiktiraf oleh pelbagai universiti luar negara, seperti University of Nottingham yang telah menganugerahkan Tuanku dengan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang pada 11hb Julai, 1986 diikuti oleh Lincoln's Inn, London yang menganugerahkan Tuanku dengan "Kerusi Kehormat" pada tahun 1988. Di samping itu, D.Y.M.M. Tuanku juga telah dianugerahkan Ijazah Kehormat Kedoktoran Undang-Undang oleh Universitas Gadja Mada, Jogjakarta, Indonesia pada 28hb September, 1990, oleh Universiti Brunei Darussalam pada 30hb Oktober, 1990 lantas diikuti oleh Universiti Chulalongkorn, Bangkok, Thailand pada 19hb Disember, 1990. Pada 2hb Oktober, 1991, D.Y.M.M. Tuanku telah dianugerahkan Keahlian Kehormat The Royal College of Physician of Ireland. Anugerah yang sama juga telah diberikan oleh Royal College of Surgeons of Ireland, The Royal College of Surgeons of Edinburgh dan The Royal College of Surgeons of England pada tahun 1999.
Berdasarkan pencapaian cemerlang di dalam perkhidmatannya, D.Y.M.M. Tuanku telah dianugerahkan pelbagai anugerah kehormat samada di peringkat Persekutuan mahupun dari luar negara. Di antaranya adalah D.K.;D.K.M.; D.M.N.; D.K.(Kelantan), D.K. (Terengganu); D.K. (Perlis); D.K. (Johor); D.K.(Selangor); D.K.(Kedah); D.K.M.B.(Brunei); D.K.(Negeri Sembilan); D.K.(Pahang); S.S.M.; P.M.N.; P.S.M.; S.P.C.M.; S.P.T.S.; S.P.M.P.; S.I.M.P.; The Most Auspicious of The Rajamitrabhorn (Thailand); Grand Order of Mugunghwa (Republik Korea); Collar of The Japanese Order of The Chrysanthemum dan Grand Cordon of The Supreme Order of the Chrysanthemum (Jepun); Civil Order; 1st Class (Oman) dan Orden Al-Merito De Chile (Republik Chile); Bintang ADI PURNA (Republik Indonesia); dan Hon. Knight Grand Cross (Civil Division) of The Order of The Bath (U.K.). D.Y.M.M. Tuanku juga telah dikurniakan The PAUL HARRIS FELLOWSHIP oleh Rotary International dan The Melvin Jones Fellow Award oleh Lions Clubs International.
Minat yang mendalam Tuanku di dalam bidang sukan khususnya bidang hoki telah bermula sejak zaman persekolahan lagi. D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah kini memegang jawatan sebagai Presiden Persekutuan Hoki Malaysia (Malaysian Hockey Federation), Presiden Hoki Asia serta sebagai Naib Presiden Persekutuan Hoki Antarabangsa (International Hockey Federation). Selain hoki, Tuanku juga amat berminat di dalam permainan golf, dan kini kini merupakan Penaung DiRaja bagi Persatuan Undang-Undang Malaysia di Great Britain dan Eire, The British Graduates Association of Malaysia, Akademi Perubatan Malaysia, The Rotary Clubs, The Lions Clubs, Kelab Ipoh DiRaja, Kelab Golf DiRaja Perak, Kelab Polo Iskandar, Kelab Golf Kuala Kangsar, Persatuan Alam Sekitar Malaysia serta Persatuan Hoki Veteran Perak.
Pada tahun 1992, di Ekspo Pelancongan Domestik Perak, satu jenis spesis bunga orkid telah dinamakan bersempena dengan nama Tuanku dengan rasminya - "Doritinopsis Sultan Azlan Shah" selepas menerima anugerah tanaman terbaik di dalam kategorinya.
Menghargai komitmen D.Y.M.M. Tuanku sebagai Penaung Persatuan Alam Sekitar Malaysia (The Malaysia Nature Society), satu jenis spesis baru serangga yang ditemui ketika Ekspedisi Saintifik Belum (1993-1994) telah juga dinamakan bersempena nama Tuanku - Azlania Costatipennis (Jacoby), Azlania apicalis Mohamedsaid dan Azlania borneensis Mohamedsaid
Pada 25hb April, 1989, D.Y.M.M. Paduka Seri Sultan Azlan Muhibbuddin Shah telah diisytiharkan dengan rasminya sebagai Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong Malaysia Yang Se-Sembilan.
Maklumat di atas diambil dari http://sultan.perak.gov.my/bahasa/azlan.htm

Friday, January 23, 2009

Sejarah Yang Dilupakan

SEPANJANG perjalanan dari Taiping ke Kuala Sepetang (Port Weld), yang jaraknya kira-kira 12 kilometer dari Bandar Taiping, Perak kelihatan banyak pokok besar di sepanjang jalan terutama di kawasan Matang yang mungkin usianya mencecah ratusan tahun.
Pokok besar itu dikatakan ditanam oleh penjajah Inggeris dengan tujuan tertentu, ada yang mendakwa sebagai penanda kawasan laluan, penanda pendudukan kolonial dan ada juga yang mengatakan ia satu daripada kempen alam sekitar.
Laluan darat itu sebenarnya bersebelahan landasan kereta api bersejarah antara Taiping ke Port Weld sejauh 12 kilometer (km).
Di antara puluhan pokok besar itu, ada dua batang pokok besar, setinggi kira-kira 20 meter dan mungkin usianya mencecah hampir ratusan tahun yang terletak di arah bertentangan dengan pokok yang dikatakan ditanam oleh penjajah Inggeris.
Saiz ketinggiannya jika ditebang untuk dijadikan balak, ia boleh dipotong dua balak atau tual iaitu satu tual panjangnya bersamaan dengan saiz lori balak. Ukir lilit dianggarkan lebih satu pemeluk orang dewasa.
Dua pokok mempelam pauh itu terletak di satu selekoh. Kedudukannya agak terpinggir, kawasannya tidak dijaga, dipenuhi lalang manakala sebuah rumah lama di tepinya kelihatan usang dan terbiar. Jika diteliti, kedudukannya di sebelah kanan dari arah Taiping betul-betul berdepan dengan Kompleks Sejarah Matang.
Mungkin ramai yang tidak peduli atau tidak tahu, di situlah sebenarnya British menggantung sehingga mati tiga pejuang dan pemimpin Melayu yang disabitkan kesalahan bersubahat dan membunuh Residen Perak yang pertama, James Wheeler Woodford Birch atau JWW Birch di Pasir Salak.
Dato Seri Maharaja Lela, Dato Sagor dan Pandak Indut menghembuskan nafas terakhir di tali gantung yang diikat pada pokok induk mempelam pauh berkenaan.
Ketika berlakunya pembunuhan Birch, Pandak Indut adalah orang pertama yang merejam lembing kepada residen British itu disusuli libasan lembing oleh Si Puntung. Pandak Indut atau nama sebenarnya Ngah Kamdin dan menantunya, Dato Maharaja Lela disabitkan kesalahan bersubahat dalam serangan itu.
Pembunuhan pada 2 November 1875 itu banyak dicatatkan buku sejarah, jurnal, perbincangan tetapi yang pasti ia adalah kemuncak sejarah perjuangan Melayu menentang penjajah di Pasir Salak. Ia adalah sejarah agung yang dikenang sebagai bukti perjuangan demi cintakan bangsa, agama dan tanah air.

Info Pahlawan Melayu tulen
-Pandak Indut, Dato Maharaja Lela dan Dato Sagor digantung mati pada Januari 1877 di Matang.
-Dato Maharaja Lela dan Pandak Indut dikebumikan di tebing Sungai Larut.
-Berlaku hakisan tebing menyebabkan kedua-dua kubur itu musnah.
-Kubur Pandak Indut, dibina semula di satu kawasan berhampiran Masjid Tengku Menteri, Matang, kira-kira 20 minit perjalanan dari kawasan pokok mempelam berkenaan.

Dato Maharaja Lela
-Dato Seri Maharaja Lela adalah gelaran berasal dari Melaka.
-Di Perak, beliau adalah Ketua Orang Besar Delapan dan berkuasa menghukum pesalah serta bertanggungjawab mempertahankan raja.
-Mempunyai sumber penguasaan cukai wilayah penguasaannya di Pasir Salak hingga ke Sungai Dedap.
-Frank Swettenham dalam bukunya ‘Stories and Sketched’ mencatatkan Maharaja Lela seorang yang gagah dan berkedudukan tinggi.
-Berkedudukan tempat ketujuh dalam senarai kekananan daripada kedudukan Sultan Abdullah
-Mempunyai anak bernama Rasiah
-Dihukum mati kerana terbabit dalam pembunuhan Birch.

Pandak Indut
-Bapa mentua kepada Dato Maharaja Lela
-Pahlawan Melayu aktif menentang British
-Menerima pedang daripada Dato Maharaja Lela untuk membunuh Birch yang mengarahkan menampal surat pengumuman di Pasir Salak.
-Beliau adalah orang pertama mengoyak surat ditampal Mat Arshad dan menikam suruhan Inggeris itu dengan lembing.
-Ditangkap di Kota Lama pada Julai 1876 atas tuduhan membunuh Birch.

Dato Sagor
-Nama panggilan kepada Ngah Kamdin yang bergelar Datuk Seri Agar Diraja, Orang Besar Delapan, Perak
-Diputerakan di Kampung Gajah tetapi berhijrah ke Larut pada usia muda mengusahakan lombong bersama Che Ngah Ibrahim.
-Mempunyai 9 anak iaitu, Long Mabu, Alang Siap, Uda Bidah, Itam Jailah, Anjang Abdullah, Teh -Nasa, Mat Dagang, Kulob Satar dan Alang Ismail.
-Keturunan Teh Nasa paling menonjol, anak keduanya melahirkan Hamzah, Ngah Mutalib, Hajjah Rahmah dan Mohd Abas.
-Mohd Abas pernah menyandang jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selama lima penggal.
-Anak saudaranya, Tan Sri Ramli Ngah Mutalib adalah bekas Menteri Besar Perak.

Info pembunuhan Birch
-Raja Abdullah meminta sokongan British membolehkan dirinya merebut takhta menjadi sultan. -Perjanjian Pangkor dimeterai dengan British pada 20 Januari 1874 mengiktiraf Raja Abdullah menjadi Sultan Perak manakala sultan sedia ada iaitu Sultan Ismail diturunkan daripada takhta.
-JWW Birch dilantik sebagai residen pertama di Perak.
-Memperkenalkan pelbagai peraturan baru menekan pembesar serta penduduk termasuk cukai tinggi.
-Sultan Abdullah dipaksa menandatangani surat memberi hak kepada British memerintah Perak dengan ugutan akan dilucutkan takhta.
-Baginda bermesyuarat dengan pembesar negeri di Durian Sebatang pada 21 Julai 1875. Usul membunuh Birch dikemukakan dengan pelbagai cadangan antaranya meracun dan menikamnya.
-Sultan Abdullah terpaksa bersetuju menyerahkan Perak diperintah British pada 2 Oktober 1875.
-Pada 15 Oktober 1875, Gabenor Negeri-negeri Selat iaitu Sir William Jervois mengumumkan Perak akan diletakkan di bawah pentadbiran British diketuai seorang pesuruhjaya.
-pengisytiharan ditampal di seluruh Perak. Mulanya ditampal di kawasan kediaman Birch di Bandar Baharu dengan diikuti istiadat tembakan meriam 21 das sebelum ditampal di tempat lain.
-Datuk Maharaja Lela mengarahkan pengikutnya membina kubu di Pasir Salak kerana yakin Birch akan datang ke kawasannya untuk menampalkan surat pengumuman.
-Birch tiba di Pasir Salak menggunakan rumah rakit dan perahu pada malam 1 November 1875. -Esoknya, jurubahasa Birch, Mat Arshad diarah ke rumah Datuk Maharaja Lela meminta supaya menghadap Birch.
-Mat Arshad dan pengikutnya dilarang menampal surat cukai tetapi tetap berdegil menyebabkan penduduk berang dan mengoyak surat.
-Pandak Indut yang tercabar dengan tindakan Mat Ashad menikam suruhan Inggeris dan tindakan itu seolah-olah satu isyarat supaya orang Melayu bertindak.
-Penduduk Pasir Salak mengamuk dan menyerbu ke rumah rakit Birch sambil merejam lembing.
-Askar pengawal Birch ketakutan dan melarikan diri meninggalkan rumah rakit itu tanpa pengawal meninggalkan Birch yang sedang mandi.
-Rejaman lembing penduduk menembusi rumah rakit itu seterusnya menusuk jasad Birch dan beliau cuba menyelamatkan diri dengan terjun ke dalam sungai.
-Ketika timbul tercungap-cungap di permukaan air, Si Puntung, pengikut Datuk Maharajalela menetak kepala lelaki asing itu menggunakan pedang.

Sumber: Muzium Kompleks Sejarah Matang, Perak Darul Ridzuan.

Saturday, January 17, 2009

Menelusuri Sejarah Yahudi dan Negara Israel

Siapakah bangsa Yahudi ini ?? Menurut kajian sejarah yang berdasarkan penggalian arkeologi dan lembaran-lembaran kitab suci, awal bangsa Yahudi mempunyai hubungan rapat dengan kisah nabi Ibrahim AS yang berlaku sekitar 3800 tahun yang lalu atau 1800 tahun SM.
Tafsir Al-Qur'an menunjukkan bahawa Ibrahim AS tinggal di daerah Palestine yang dikenali sekarang sebagai Al-Khalil (Hebron) dan beliau tinggal di sana bersama Nabi Luth (QS, 21:69-71).

Anak nabi Ibrahim adalah nabi Ismail dan nabi Ishak kemudian anak nabi Ishak adalah nabi Yaakub, kemudian dari keturunan 12 anak nabi Yaakub inilah yang dikenali sebagai 12 suku Israel.

Anak bongsu nabi Yaakub AS adalah nabi Yusuf AS, yang terkenal dalam sejarah, setelah ditinggalkan di dalam telaga di padang pasir oleh abang-abangnya, akhirnya menjadi kepala bendahara negeri Mesir.

Kemudian ayahnya, nabi Yaakub, serta abang-abangnya mengikut nabi Yusuf AS ke Mesir dan hidup damai di sana sampai suatu hari Firaun yang berkuasa memperbudakkan (menjadikan hamba) keturunan mereka yang dikenal dengan bani Israel.

Kerana kekejaman Firaun yang tak terkira terhadap bani Israel, Allah SWT telah mengirim nabi Musa AS masa itu, dan memerintahkannya untuk membawa bani Israel keluar dari Mesir.

Musa AS dan kaumnya meninggalkan Mesir, dengan pertolongan mukjizat Allah, sekitar tahun 1250 SM.

Mereka tinggal di Semenanjung Sinai dan timur Kanaan (Palestine), dalam Al-Qur'an, nabi Musa memerintahkan Bani Israel untuk memasuki Kanaan, (Qur'an, 5:21).

Setelah nabi Musa AS wafat, bangsa Israel tetap tinggal di Kanaan. Menurut ahli sejarah, nabi Daud AS menjadi raja Israel dan membangun sebuah kerajaan berpengaruh.

Selama pemerintahan anaknya nabi Sulaiman, batas-batas Israel diperluas dari Sungai Nil di Selatan hingga sungai Eufrat di negara Siria sekarang di utara.

Ini adalah sebuah masa gemilang bagi kerajaan Israel dalam banyak bidang, terutama senibina. Di Baitul Maqdis (Jerusalem), nabi Sulaiman membangun sebuah istana dan biara yang luar biasa.

Setelah wafatnya nabi Sulaiman, Allah SWT mengutus ramai lagi nabi kepada Bani Israel meskipun dalam banyak hal Bani Israel tidak mendengar perintah para nabi, membunuh mereka dan mengkhianati Allah.

Setelah kematian nabi Sulaiman, kerajaan bani Israel (yahudi) berpecah, di utara Israel dengan ibukota Samarria dan Di Selatan Juda dengan ibukota Baitul Maqdis (Yerrusalem) .

Dengan berlalunya waktu, suku yahudi jatuh di bawah Assyurria dan Babylon atau pergi ke Mesir sebagai pelarian.

Ketika raja Perrsia Kyros tahun 539 SM mengizinkan orang Yahudi kembali dari pelarian mereka, banyak orang Yahudi yang tidak kembali, di sinilah mulainya Diaspora, penyebaran bangsa Yahudi ke seluruh dunia.

Pada tahun 63 SM Juda dan Israel jatuh ke tangan orang Romawi dan tahun 70 SM berjaya menghancurkan pemberontakan Yerusalem dan menghancurkan biara dan Juda.

Awal terbentuknya Israel
Setelah itu orang Yahudi hidup dalam pelarian, sehingga zaman khilafah Othmaniyah barulah orang Yahudi dapat merasakan kehidupan yang damai dengan membayar pajak perlindungan kepada kerajaan Othmaniyah.
Akhir abad ke 19, ditunjangi oleh Jewish Colonization Assocation Baron Hirsch, Yahudi dari Eropah Timur berpindah ke Argentina dan membentuk Kolonialisme pertanian, untuk kembali ke Palestine bermula tahun 1881.
Kronologi penubuhan Israel adalah seperti berikut;
1896 Theodor Herzl Yahudi kelahiran Budapest mengasaskan pembentukan Negara Yahudi moden. Tujuannya untuk menuntut dan membuat negara untuk orang Yahudi di Palestine, disokong oleh wang hasil sumbangan dari seluruh orang Yahudi di dunia. Herzl ini juga dikenal pendiri zionisme, yang juga tidak disetujui oleh orang Yahudinya sendiri.
1914 Di Palestine tinggal 1200 orang Yahudi. Setelah kekalahan khilafah Othmaniyah dalam perang dunia pertama, Palestine menjadi bola permainan para penjajah dan para Zionis ada di sisi British dan Amerika.
1917 Tanggal 2 November menteri luar British Lord Balfour menandatangani Deklarasi Balfour untuk membangun negara yahudi. Sebulan kemudian masuklah tentera British ke Baitul Maqdis (Jerusalem).
1920 Gabungan Negara-negara menyerahkan mandat Palestine kepada British. Akibatnya datanglah 75.000 lagi orang Yahudi ke Palestine. Negara-negara Arab tidak menyetujui didirikannya negara Yahudi di Palestine.
1922 Transjordania dipisahkan dari daerah mandat. Sebagai perwakilan orang Yahudi dibuatlah Jewish Agency. Di tahun itu lebih kurang 80.000 orang Yahudi tinggal di Palestine
1933 Di Jerman berlaku penghapusan etnik Yahudi secara sistematik oleh Rejim Hitler.
1936 Masyarakat Arab menentang politik masuknya orang Yahudi ke Palestine tapi orang Yahudi dibantu oleh tentera Inggeris. (Bawah - Peta Palestine tahun 1946 sebelum peristiwa Nakba )
1937 Sesudah pemerintah Mandat membatasi imigrasi dan pembelian tanah oleh orang Yahudi, timbullah ketegangan yang dilakukan oleh organisasi bawah tanah Yahudi terhadap orang Inggeris.
1939 Pendidikan sebuah brigade Yahudi untuk memasukkan orang Yahudi ke Palestine
1945 Suruhanjaya Inggeris Amerika menganjurkan penerimaan 100,000 orang Yahudi di Palestine, tapi kemudian ditolak oleh Inggeris sehingga menyebabkan rusuhan di antara Yahudi - Palestine.
1947 UNO menganjurkan pemisahan Palestina dan pembentukan negara Yahudi dan Arab. Perang antara Yahudi dan Arab menghindarkan dilanjutkannya rencana itu.
1948 Inggris mengakhiri Mandatnya atas Palestine dan pada 14 Mei meninggalkan Palestine. Tentera Yahudi memasuki Palestine dan mengusir orang Palestine yang didukung oleh negara-negara Arab. Di hari yang sama Ben Gurion mengisytiharkan kemerdekaan Israel di kota yang dibentuk mereka, Tel Aviv, sehingga kemudian menyebabkan perang hari pertama Timur Tengah.
1949 Setelah perang, Israel memenangi peperangan dan bangsa-bangsa bersatu mengakui Israel sebagai sebuah negara.(Bawah- Peta pembahagian Palestine oleh PBB pada 1947 - Palestine berwarna hijau)
Bagi memahami persoalan Palestin secara yang lebih mendalam, boleh Menelusuri Sejarah Baitul Maqdis
First Qibla - Bait-al-Maqdis (Al-Aqsa):AT THE HEART OF JERUSALEM is the Al-Aqsa mosque or Al-Haram Ash-Shareef (The Noble Sanctuary). It is the third most sacred mosque in the world (after Masjid al-Haram in Makkah and Masjid Nabawi in Medinah), enclosing over 35 acres of fountains, gardens, buildings and domes. At its southernmost end is al-Aqsa Mosques, which was built by Khalifa Omar Bin Al-Kattab in the year 19 Hijri. At its center is the celebrated Dome of the Rock. The entire area is regarded as Baitul-Maqdis or Al-Qudus and comprises nearly one sixth of the walled city of Jerusalem. In the picture on the left, the following are identified:
-->Bertanda Hijau - Masjid al-Qubbatus- Sakhra (The Dome of the Rock)
-->Bertanda Merah - Masjid al-Aqsa (The Farthest Mosque)
-->Bertanda Biru Muda - Al Madrasa An-Nahawiah
-->Bertanda Biru - Al Musalla Al-Marwani
Gambar Bawah - Propaganda Israel - Kuil yang akan menggantikan al-Aqsa

Artikel di atas dipetik dari laman berikut: http://www.darulbayan.com/v2/index.php?option=com_content&task=view&id=1816&Itemid=32

Majlis Memperingati Palestine


Hari ini Sabtu 17 Januari 2009, merupakan hari persekolahan untuk menggantikan cuti sempena Tahun Baru Cina. P & P berjalan seperti biasa bagi pelajar-pelajar teknik dan ICT manakala pelajar-pelajar vokasional pula mengikuti penyelarasan modul bersama-sama guru-guru MPAV. Bermula pukul 12.20 hingga 1.45 Majlis Memperingati Palestine telah diadakan dengan mengundang En Raai Yusop untuk memberi ceramah yang bertajuk Perkongsian Maklumat dan Perbincangan Tentang Tragedi Gaza dan Umat Islam.

Setelah selesai ceramah, kutipan tabung untuk rakyat Palestine telah dilancarkan oleh Pengetua Kanan Sekolah Menengah Teknik Seri Manjung, Puan Siti Arfah Ibrahim.

Guru-guru dan pelajar-pelajar yang mengikuti majlis tersebut khusyuk mendengar ceramah yang disampaikan.

Thursday, January 15, 2009

Terusan Suez

Dalam pembelajaran teks Sejarah peringkat Menengah, khususnya dalam silibus tingkatan 4 dan 5, kita telah didedahkan tentang usaha penjelajahan dan penjajahan oleh Imperialis Barat pasca era Renaissance. Kemajuan pengangkutan dan perhubungan menjadi antara 'kunci terpenting' yang mendorong kepada usaha-usaha tersebut.

Tahukah anda bahawa pembinaan Terusan Suez telah menjadi pemangkin kepada pelaksanaan dasar Imperialisme Barat ke Timur? Justeru, marilah sama-sama kita mengamati sejarah pembinaan Terusan Suez yang peranannya cukup relevan dan signifikan hinggalah ke hari ini.

Terusan Suez, 1869
Terusan Suez (bahasa Arab: قناة السويس) (Qanā al-Suways), merupakan terusan buatan manusia yang terbesar di antara Mesir dan Semenanjung Sinai. Dengan kepanjangan 163 kilometer (101 batu) dan kelebaran 300 m (984 kaki), berfungsi diantara Pelabuhan Said di Laut Mediterranean dan Suez di Laut Merah.
Terusan ini membenarkan laluan air secara dua hala , dan menjadi kepentingan diantara Eropah dan Asia tanpa perlu mengelilingi benua Afrika. Sebelum pembukaan dalam tahun 1869, barang dagangan dipunggah keluar dari kapal dan diangkut secara kenderaan darat diantara 2 laut tersebut.
Terusan tersebut menggabungkan dua bahagian, utara dan selatan tasik besar Bitter yang menyambungkan Laut Mediterranean hingga Teluk Suez di Laut Merah.
Ia dibina oleh Perancis dengan pimpinan juruteranya yang bernama Ferdinand de Lesseps. Sebaik dibuka, terusan ini dikendalikan oleh syarikat awam yang kebanyakan sahamnya dimiliki oleh Khedif, Gabenor Mesir dan pedagang Perancis yang berpengaruh.

British sangat berminat menguasai Terusan Suez kerana ia menjadi laluan utama sebilangan besar kapal dagangnya serta jalan singkat ke India, Asia Tenggara, China dan Australia.

Pada tahun 1875, akibat banyak berhutang dan hampir muflis telah menyebabkan Khedif terpaksa menjual sahamnya dalam Kompeni Terusan Suez. Kesempatan ini diambil oleh Disraeli, Perdana Menteri British ketika itu untuk membeli 45 peratus jumlah saham dalam kompeni tersebut yang bernilai 4 juta paun sterling (modal besar pada masa itu).

Dengan bantuan pinjaman daripada Rothschilds, iaitu sebuah firma bank antarabangsa yang terkenal, Disraeli mempunyai cukup wang tunai untuk membeli saham tersebut, seterusnya menguasai kompeni dan terusan Suez.

Berikutan dengan ini, Mesir juga telah jatuh ke tangan British dan kemaraan imperialisme Barat tidak dapat dibendung lagi pada kurun ke-19.

Wednesday, January 07, 2009

Bubur Asyura

Bubur Asyura ialah bubur yang dibuat dengan pelbagai campuran ramuan pada 10 Muharram iaitu pada Hari Asyura.
Bubur Asyura mesti mempunyai 10 jenis ramuan, jikalau lebih atau kurang, maka bubur tersebut bukan Bubur Asyura. Setiap negeri, terutama negeri-negeri di semenanjung Malaysia, mempunyai Bubur Asyura yang berlainan rasa dan ramuan. Hal ini, menyebabkan pelbagai cara untuk membuat Bubur Asyura.

Jenis bubur Asyura
Jenis manis - Lazimnya di utara Semenanjung Malaysia.
Jenis berempah dan mengandungi daging - Lazimnya di pantai timur Semenanjung Malaysia.
Jenis seperti bubur lambuk yang mengandungi pelbagai ramuan seperti pisang, kacang hijau dan lain-lain - Lazimnya datang dari Singapura

Hari Asyura

MUHARAM
MUHARAM adalah bulan pertama dalam tahun Islam (Hijrah). Sebelum Rasulullah berhijrah dari Makkah ke Yathrib, kiraan bulan dibuat mengikut tahun Masihi. Hijrah Rasulullah memberi kesan besar kepada Islam sama ada dari sudut dakwah Rasulullah, ukhuwwah dan syiar Islam itu sendiri. Pada asasnya, Muharam membawa maksud 'diharamkan' atau 'dipantang', iaitu Allah SWT melarang melakukan peperangan atau pertumpahan darah. Namun demikian larangan ini ditamatkan setelah pembukaan Makkah (Al Baqarah: 91). Sejak pemansuhan itu, umat Islam boleh melaksanakan tugas dan ibadat harian tanpa terikat lagi dengan larangan berkenaan.
Hari Asyura merupakan salah satu hari yang diraikan oleh umat Islam. Asyura berasal daripada perkataan Arab asyara yang bermaksud sepuluh. Ini disebabkan hari Asyura adalah hari yang kesepuluh di dalam kalendar Islam iaitu 10 Muharram.
Mengikut masyarakat Islam, hari Asyura telah menyaksikan banyak sejarah besar dan keajaiban berlaku ke atas para nabi. Disebabkan itu, masyarakat Islam menghormati hari tersebut seperti juga yang diamalkan oleh Muhammad s.a.w.

Sejarah Asyura
Menurut tradisi masyrakat Islam, Nabi Muhammad s.a.w. telahpun melakukan puasa Asyura sejak di Makkah lagi memandangkan puasa Asyura adalah amalan biasa masyarakat tempatan. Apabila baginda berhijrah ke Madinah, baginda turut mendapati yang kaum Yahudi turut berpuasa pada hari Asyura (atau bagi mereka adalah Yom Kippur yang juga pada hari kesepuluh). Ketika itu, Baginda mengesahkan dan mensyariatkan puasa sehingga ia menjadi satu kewajiban kerana baginda merasakan masyarakat Islam lebih dekat dengan Nabi Musa. Ibn Hajar al-asqalani, dalam pernyataannya terhadap sahih Bukhari mengatakan yang syariat puasa telah dijadikan kepada bulan Ramadhan setahun kemudian. Kini, masyarakat Islam melakukan puasa pada 10 Muharram sebagai amalan sunat dan bukan kewajiban.

Masyarakat Islam turut percaya akan berlakunya kejadian besar ketika 10 Muharram:
**Hari pertama Allah menciptakan alam.
**Hari Pertama Allah menurunkan rahmat.
**Hari pertama Allah menurunkan hujan.
**Allah menjadikan 'Arasy.
**Allah menjadikan Luh Mahfuz.
**Allah menjadikan alam.
**Allah menjadikan Malaikat Jibril.
**Nabi Adam a.s. dicipta.
**Diampunkan dosa Nabi Adam a.s. setelah bertahun-tahun memohon keampunan kerana melanggar larangan Allah.
**Nabi Idris a.s. diangkat darjatnya oleh Allah dan Malaikat Izrail membawanya ke langit.
**Diselamatkan Nabi Nuh a.s. dan pengikutnya dari banjir besar selama enam bulan dan bahtera baginda selamat berlabuh di puncak pergunungan.
**Nabi Ibrahim a.s. dilahirkan di kawasan pedalaman dan terselamat dari buruan Raja Namrud.
**Nabi Ibrahim a.s. diselamatkan Allah dari api Raja Namrud.
**Nabi Yusuf a.s. dibebaskan dari penjara setelah meringkuk di dalamnya selama tujuh tahun.
**Nabi Yaakub a.s. telah sembuh buta matanya ketika kepulangan anaknya Yusuf di hari tersebut.
**Nabi Ayub a.s. disembuhkan dari penyakitnya.
**Nabi Musa a.s. telah diselamatkan daripada tentera Firaun dan berlakunya kejadian terbelahnya Laut Merah.
**Allah menurunkan kitab Taurat kepada Nabi Musa a.s..
**Nabi Yunus a.s. selamat keluar dari perut ikan paus setelah berada di dalamnya selama 40 hari 40 malam.
**Kesalahan Nabi Daud a.s. diampuni Allah.
**Nabi Sulaiman a.s. dikurniakan Allah kerajaan yang besar.
**Nabi Isa a.s. diangkat ke syurga ketika diburu oleh tentera Rom untuk menyalib baginda.
**Saidina Hussein ibni Ali telah syahid akibat dibunuh dengan kejam di Karbala oleh tentera khalifah Bani Umaiyyah iaitu Khalifah Yazid.
Sejarah Asyura bagi Perspektif Syiah
Pada masa pra-Islam, 'Asyura diperingati sebagai hari raya rasmi bangsa Arab. Pada masa itu orang-orang berpuasa dan bersyukur menyambut 'Asyura. Mereka merayakan hari itu dengan penuh suka cita sebagaimana hari Nawruz yang dijadikan hari raya di negara Iran. Dalam sejarah Arab, hari 'Asyura (10 Muharram) adalah hari raya bersejarah. Pada hari itu setiap suku mengadakan perayaan dengan mengenakan pakaian baru dan menghias kota-kota mereka. Sekelompok bangsa Arab, yang dikenal sebagai kelompok Yazidi, merayakan hari raya tersebut sebagai hari suka cita.

Sunday, January 04, 2009

Sesi Persekolahan 2009 Bermula

Pelajar-pelajar Tingkatan 5 sesi persekolahan 2009 telah mendaftarkan diri bermula pukul 2.00 petang tadi di Dewan Sekolah. Buku teks juga telah diedarkan supaya sesi pengajaran dan pembelajaran boleh bermula esok.
Semoga pelajar datang dengan semangat dan azam yang baru untuk mencapai kecemerlangan pada tahun ini. Guru-guru juga sudah tidak sabar untuk memulakan p&p setelah bercuti.

Friday, January 02, 2009

MAAL HIJRAH - SATU RENUNGAN DAN PENGHAYATAN

Hari ini telah masuk 5 Muharam 1430 Hijrah. Belum terlambat untuk kita renung kembali sejarah penghijrahan Rasulullah s.a.w ke Madinah yang telah mencetus satu perubahan besar dalam sejarah Umat Islam. Walaupun sebelum itu telah berlaku beberapa penghijrahan kecil seperti penghijrahan beberapa orang sahabat ke Habsyah dan Madinah namun ia hanya sekadar penghijrahan biasa sahaja. Walaupun dari sudut pandangan kasar kita, penghijrahan rasul ini dilihat seolah-olah seperti ‘undur ke belakang’ atau semata-mata melarikan diri dari kezaliman, cemuhan dan seksaan Musyrikin Mekah namun sebenarnya penghijrahan tersebut merupakan satu arahan dan perintah dari Allah s.w.t bagi meneruskan kewajipan sebagai seorang Rasulullah s.w.t untuk menegakkan Panji Islam dan melaksanakan suruhan Allah s.w.t di dalam mewujudkan satu komunit Islam yang hidup bermasyarakat dan bernegara.

Kita renungi semula SEJARAH PENGHIJRAHAN RASUL - HIJRATUL RASUL ini agar generasi sekarang tidak lupa kepada pengertian Hijrah yang sebenar serta sejarah yang berlaku di sebaliknya. Hijrah ini bermula apabila pemuka-pemuka Quraisy yang merasa tercabar dengan penyebaran Islam di Kota Mekah telah melakukan pelbagai bentuk seksaan dan kezaliman terhadap Muslimin pada waktu itu. Anak isteri dipisahkan, harta benda dirampas, nyawa diragut, dipukul dan diseksa dengan seksaan yang begitu dahsyat dan mengerikan, namun tindakan yang tidak berperikemanusiaan itu tidak berjaya juga menghalang kebangkitan Islam yang semakin luas penyebarannya dari sehari ke sehari.

Maka para pemimpin Quraisy yang mewakili kabilah masing-masing telah mengadakan MESYUARAT TERGEMPAR atau persidangan pada 26 Safar tahun ke 14 kenabiaan di Darul Nadwah bagi membincangkan isu Islam, Umat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. Di dalam persidangan tersebut iblis turut menghadirinya dengan menyamar sebagai Syeikh An-Najd (Seorang tua dari Najd) yang turut memberi cadangan dan usul yang jahat. Persidangan tersebut akhirnya berakhir dengan menerima cadangan dari Abu Al-Aswad agar Rasulullah s.a.w dibuang negeri dan kemudian menerima pula cadangan dari Abu Al-Buktari yang mencadangkan agar Rasulullah s.a.w dipenjarakan.

Allah s.w.t telah mewahyukan kepada Nabi Muhammad s.a.w melalui perantaraan Jibril tentang pakatan jahat kaum Musyrikin tersebut dan memerintahkan agar Rasulullah s.a.w berhijrah ke Yathrib (Madinah). Rasulullah s.w.t telah memberitahu sahabat karibnya, Abu Bakar As-Siddiq r.a tentang makluman dan perintah dari Allah s.w.t tersebut dan membuat persiapan dan perancangan untuk berhijrah dari tanah kelahirannya itu.

Ringkasnya, Rasulullah s.a.w telah memerintahkan Saidina Ali bin Abi Talib r.a agar berbaring menggantikannya di tempat pembaringan dan menyampaikan beberapa pesanan dan amanah kepada Ali. Helah yang dilakukan oleh baginda ini telah berjaya memperdayakan pengintip-pengintip Quraisy yang telah mengintai tempat pembaringan Rasulullah s.a.w dan melihat sekujur tubuh sedang tidur yang disangkakan Rasulullah s.a.w itu. Rasulullah s.a.w telah berjaya melarikan diri dari kepungan Quraisy tersebut tanpa disedari oleh mereka walaupun seorang pun. Rasulullah s.a.w bersama Abu Bakar r.a telah bertolak ke arah selatan menuju ke ‘Gua Thur‘ dan bermalam di dalamnya selama 3 malam. Dalam tempoh tersebut, Asma dan Aisyah telah membawa bekalan makanan manakala Abdullah bin Abu Bakar pula menjadi perisik bagi mendengar sebarang berita atau perancangan dari pembesar Musyrikin, dan Amir bin Fuhaira’ pula mengembala kambing di sepanjang laluan yang telah dilalui oleh Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar r.a bagi menghapuskan kesan-kesan perjalanan mereka berdua itu. Sewaktu Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar berada di Gua Thur ini telah berlaku beberapa mukjizat seperti sarang labah-labah dan sebagainya.

Pihak Quraisy yang kecewa akibat tidak berjaya menangkap mereka berdua telah mengumumkan ‘SPECIAL OFFER‘ berupa ganjaran 100 ekor unta kepada sesiapa yang berjaya memberkas 2 orang pelarian yang amat-amat dikehendaki itu. Tawaran ini telah berjaya menarik minat Suraqah bin Malik yang telah berjaya mengesan jejak mereka berdua dan mengejarnya dari belakang. Namun impiannya untuk mendapatkan 100 ekor unta tersebut berkecai akibat beliau dan kudanya tersungkur rebah ke tanah.
Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Bakar As-Siddiq r.a telah meneruskan perjalanan mereka berdua melalui beberapa perkampungan di antaranya ‘Tihama‘ dan melintasi padang pasir yang luas dalam keadaan panas terik yang membakar padang pasir sahara. Perjalanan yang penuh dengan kesusahan dan keperitan dengan melintasi padang pasir, batu-batu kapur, lembah-lembah curam, binatang berbisa, kedinginan malam hari dan 1001 macam bentuk kepayahan itu berjaya diharungi dengan hanya berbekalkan keimanan, ketabahan, kesabaran, kepatuhan yang tinggi kepada Allah s.w.t.

Akhirnya Rasulullah s.a.w bersama Abu Bakar r.a telah tiba di Quba’ pada hari Isnin 8 Rabiul Awwal tahun ke 14 Kenabiaan, sebahagian ulama mengatakan hari tersebut bertepatan dengan 12 Rabiul Awwal. Baginda telah menetap di situ selama 4 hari dan mendirikan Masjid Quba’.
Maka pada hari Jumaat, 16 Rabiul Awwal bergemalah laungan “Thola’al Badrul Alaina” yang merupakan laungan nasyid Selamat Datang oleh penduduk “Yathrib” yang diiringi laungan takbir memecah kesunyian bandar tersebut. Rasulullah s.a.w menunaikan solat Jumaat di ‘Yathrib’ dan menukarkan nama bandar ‘Yathrib’ itu kepada ‘Madinaturrasul‘ atau ‘Al-Madinah‘. Maka dengan itu tertegaklah sebuah negara Islam Madinah dengan rasminya dan di situlah juga merupakan titik permulaan bagi penyebaran Islam ke serata dunia.
Unta Rasulullah s.a.w terus bergerak menuju sehingga ke tempat jemuran kepunyaan 2 orang anak yatim iaitu Shal dan Suhail bin Amr, Rasulullah s.a.w kemudian membeli tempat itu untuk membangunkan masjid dan tempat kediamannya. Rasulullah s.a.w telah menumpang di rumah Abu Ayyub bin Khalid bin Zaid sementara menunggu tempat tinggalnya siap dibina.
Detik bersejarah tersebut telah disaksikan oleh seluruh penduduk Madinah termasuk golongan Yahudi yang telah melihat kedatangan seorang Rasul yang membawa amanah dari Allah s.w.t yang kemudiannya berjaya menyatukan puak Aus dan Khazraj serta mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar yang merupakan satu ikatan persaudaraan yang unggul dan gemilang dalam sejarah Umat Islam.
Oleh itu kita perlu jadikan Hijrah ini sebagai satu titik permulaan bagi MENGUKUHKAN KEIMANAN, MENINGKATKAN KETAKWAAN dan MENEGUHKAN SYARIAT ISLAMIAH agar kita menjadi individu Muslim yang aktif, positif, produktif dan inovatif agar bersesuaian dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Kamu merupakan sebaik-baik Ummah yang telah dikeluarkan untuk seluruh umat manusia…..“
Renungilah detik-detik bersejarah yang tersimpan di dalam Awal Muharram atau Maal Hijrah ini dan perlu diketengahkan dan diperbincangkan sekurang-kurangnya sekali setahun.

Artikel di atas di petik dari http://www.epustaka.com/blog/tazkirah/maal-hijrah-satu-renungan-dan-penghayatan.html